PAS bangkit isu guru KAFA ke jawatan tetap

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Status kontrak guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) ke penjawatan tetap akan dikaji kerajaan dan kursus kemahiran turut dipertimbangkan bagi meningkatkan kemahiran guru KAFA.

Penyataan ini dikemukakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh kepada soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian), dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pagi ini.

"Saya ingin tanya sebagaimana kita tahu guru-guru KAFA adalah diambil secara kontrak ada kalangan mereka yang bertugas selama 20 tahun ada yang sampai 25 tahun dalam tempoh yang lama dan mereka tetap bertetap berstatus kontrak, jadi apakah kerajaan tidak bercadang untuk mengambil mereka sebagai guru tetap melalui latihan perguruan semasa musim cuti," tanya Tuan Ibrahim.

Menurut Fuziah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membuat kaijan menaik taraf status tersebut selaras dengan menaikkan status ke tahap gred skim jawatan.

"Selaras dengan itu menaikkan status mereka ke tahap yang ada gred skim jawatan. Kita juga sedang meneliti bagaimana negeri-negeri boleh bantu dengan memberi 'matching geran' sebab negeri-negeri ada yang membantu memberi elauan tambahan seperti Selangor memberi elaun tambahan sebanyak RM700 kepada guru KAFA ini sehingga take home mereka itu mencapai RM1,717.

"Ada negeri-negeri berbeza-beza elaun tambahan yang diberikan oleh negeri-negeri, mungkin ini juga satu cara di mana ada matching geran yang diberikan oleh negeri supaya ada peningkatan pendapatan bagi guru-guru KAFA," katanya.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan turut meminta kerajaan menyemak semula gaji guru KAFA di Sabah yang menerima kurang daripada RM900.

Fuziah berkata, elaun diberikan kepada guru KAFA tidak pernah kurang daripada RM900 dan jika berlaku kekurangan beliau meminta perkara tersebut dilaporkan.

"Saya nak maklumkan kepada Papar bahawa elaun RM900 itu tidak akan diberi kurang jadi kalau ada kurang itu sila laporkan supaya kita boleh buat penyiasatan kenapa berlaku kekurangan kerana kita salurkan peruntukan melalui pelbagai agensi sebelum disalurkan kepada guru bukan terus kepada JAKIM, jadi kita akan siasat," katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2018