IRI: PAS desak wujudkan akta dana politik

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Siasatan menyeluruh perlu dibuat terhadap pendedahan agensi International Republican Institute (IRI) yang membantu parti politik pembangkang sejak 15 tahun lalu sehingga berjaya menubuhkan kerajaan baharu, hari ini.

Pendedahan yang dibuat oleh Pengarah IRI, Daniel Twining dalam satu forum bertajuk "Supporting Democracy in Challenging Times" yang diadakan di Washington pada 17 Julai lalu adalah satu dakwaan berat melibatkan kerjasama politik dengan campur tangan kuasa asing yang berisiko menjejaskan kedaulatan dan keamanan negara.

Di dalam forum tersebut, Daniel turut mendedahkan badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat itu turut memberikan sejumlah dana selain membantu dari sudut strategi dan pandangan.

Justeru itu, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas kerajaan didesak mewujudkan akta dana politik yang pernah dikemukakan oleh Gagasan Sejahtera sebelum ini dari pilihan raya lagi.

"PAS mendesak kerajaan mewujudkan akta dana politik dan politik wang yang telah kita kemukakan sebelum ini, supaya semua perbelanjaan dan sumber-sumber wang parti politik di Malaysia dapat diketahui oleh rakyat secara telus, tidak ada sesuatu yang tersembunyi. Dan kita bimbang pihak luar dari negara kita yang mempunyai kepentingan tertentu menyalurkan kewangan mereka kepada parti politik di Malaysia mencapai hasrat mereka sendiri.

"Hingga setakat ini kita tidak ada satu akta yang mengawal sumber-sumber luar yang membantu parti politik, jadi sekali lagi dengan isu ini PAS mendesak kerajaan Pakatan Harapan segera mewujudkan akta tersebut dan draf mengenai akta ini sebenarnya telah ada di pihak Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

"Kita harapkan akta ini akan membersihkan negara kita khususnya daripada campur tangan pihak asing," katanya pada sidang media khas ahli parlimen PAS di sini tengah hari tadi. – HARAKAHDAILY 7/8/2018