Umno bolot Pengerusi MSN sejak 1990

Berita
Typography

KOTA BHARU: Sejak 1990 sehingga Mei lepas Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) dilantik dalam kalangan pemimpin Umno di Kelantan.

Sedangkan di negeri-negeri lain dilantik anggota Exco yang mempengerusikan portfolio sukan sebagai wakili Menteri Besar.

Bagaimanapun sejak rejim kerajaan Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum lepas, jawatan itu mahu dikembalikan kepada wakil kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, langkah baru kerajaan Pakatan Harapan dapat merungkai banyak masalah berbangkit sebelum ini.

Katanya, sebelum ini wakil kerajaan negeri tidak ada saluran untuk bertemu atlet termasuk yang mewakili negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA).

“Begitu pembangunan program-program sukan, kerajaan negeri dipinggirkan. Biar pun begitu kerajaan negeri tetap menghargai setiap atlet yang berjaya mengharum nama Kelantan,” katanya di sini.

Malam tadi beliau diundang merasmikan program Kemudi’s Biggest Loser di sebuah hotel di sini.

Baru-baru ini Wan Roslan menghadiri mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 9/8/2018