Sokong mansuh GST, namun tolak SST

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tidak akan mampu menangani kesan inflasi dari pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), bahkan penguatkuasaannya semula terdapat begitu banyak kesangsian.

Awang Hashim (PAS - Pendang) berkata, kerajaan juga tidak diyakini dapat menampung ketirisan dalam perbelanjaan negara, malah sebaliknya dilihat akan menyebabkan bebanan langsung kepada rakyat.

Syarahnya, perundangan percukaian seharusnya dilaksanakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana digariskan oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Amerika.

"Prinsip-prinsip pelaksanaan cukai menyebut; pertamanya mestilah keadilan dan kesaksamaan. Kedua kepastian dan kesahihan. Ketiga kemudahan kutipan. Keempat, mudah difahami oleh rakyat.

"Macam pelaksanaan GST satu ketika dulu, kerajaan pada ketika itu mengambil masa tiga hingga empat tahun beri sesi penerangan kepada rakyat.

"(Tetapi) ketika ini SST, saya tak nampak lagi satu 'marketing strategy' yang dilaksanakan oleh kerajaan daripada peringkat atas sehingga ke bawah bagi rakyat memahami apa itu SST," ujarnya.

Perkara itu dinyatakannya ketika menyertai perbahasan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 semasa Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin dahulu.

Tambahnya lagi, pelaksanaan kepada prinsip tersebut juga menekankan kebolehpercayaan; merujuk rakyat terhadap kerajaannya, kerana sebarang cukai bertujuan untuk mendapatkan perolehan negara, bagi perbelanjaan balik kepada rakyat.

Jelas Awang, prinsip dari pelaksanaan cukai mestilah tidak memberi bebanan ke atas rakyat, tetapi memenuhi tanggungjawab kepada negara, untuk membangunkan pentadbiran negara.

Beliau turut mempersoalkan mengenai kadar peratusan yang masih belum ditetapkan hingga tidak dapat membuat unjuran dan perbandingan harga, namun beliau yakin sebarang kadar tetap meninggikan harga barang.

Tegas beliau, PAS menolak kedua-dua cukai kepenggunaan itu dan menyeru kerajaan melihat cadangan menerusi kaedah Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Saham.

"Mampukah kerajaan yang ada kembalikan paling tidak kurang 50 peratus daripada harga asal barangan isi rumah ini. Ini yang kita perlu beri penekanan sebab tujuan kita adalah untuk membela rakyat dan memberi keselesaan rakyat dan meringankan bebanan isi rumah rakyat.

"Ini tujuan rakyat membuat peralihan. Seterusnya perkara-perkara yang menyebabkan berlaku kenaikan harga barang walaupun faktor GST dan sebagainya, kita juga melihat kepada kaitan yang berlaku kepada nilai kejatuhan nilai mata wang menyebabkan harga barang meningkat.

"Kedua, faktor 'demand and supply' juga perlu diberi perhatian oleh Menteri Kewangan. Seterusnya kita menyarankan kepada kerajaan yang ada supaya mengawal kadar inflasi yang mungkin akan berlaku agak besar bila perpindahan di antara GST kepada SST ini," utaranya.

Awang juga menegaskan kepada pihak kerajaan supaya mempunyai mekanisma mengawal kebocoran dan ketirisan yang berlaku saban tahun dalam negara dengan melihat kepada kesalahan sistem atau pelaksananya.

Sehubungan itu beliau juga menggesa kerajaan menurunkan kadar SST atau memberi insentif kepada peniaga untuk menggalakkan penurunan harga barang, ataupun insentif potongan cukai ke atas cukai berganda yang terpaksa ditanggung oleh peniaga.

Beliau turut menggesa kerajaan mengawal peniaga ini supaya tidak berlaku manipulasi harga, selain menuntut insentif potongan cukai kepada cukai pendapatan ke atas cukai berganda yang terpaksa ditanggung oleh peniaga.

"Ataupun kredit diberikan kepada peniaga yang terkesan atas cukai berganda. Seterusnya usul kami menuntut pelaksanaan 'reform' dibuat menyeluruh menuntut Kerajaan Negeri diberi peluang memberikan pandangan dan cadangan ke atas perkara yang kita bincangkan pada hari ini.

"Jadi saya rumuskan, kami daripada PAS dengan ini menolak cadangan yang dibuat oleh Menteri Kewangan untuk memansuhkan pelaksanaan GST dan juga kami tidak menerima pelaksanaan SST. Dan kita menyokong pemansuhan GST dan menolak pelaksanaan SST," tegasnya. - HARAKAHDAILY 10/8/2018