PRK Seri Setia: PAS senarai tiga nama

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS telah menghantar tiga senarai nama calon bertanding untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia ke Majlis Syura Ulamak PAS Pusat untuk tindakan lanjut.

Perkara tersebut diputuskan PAS dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada hari ini di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar di sini.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media hari ini berkata dalam pilihan raya kecil itu beliau telah diamanahkan sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk manakala Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehin Mukhyi ditugaskan sebagai Pengarah Operasi.

"Pilihan raya kali ini sebagaimana diuar-uarkan oleh Barisan Nasional (BN) mereka tidak akan menurunkan calon dan kita sambut baik tindakan tersebut kerana kita mengharapkan sokongan daripada semua pengundi sama ada ahli PAS atau bukan ahli PAS dengan strategi mungkin satu lawan satu pada kali ini.

"Walau bagaimanapun kita bergantung kepada hari penamaan calon nanti cuma bagi pihak PAS, kita bersedia untuk menurunkan calon yang kita yakin kita mampu menarik sokongan pengundi pada kali ini. Mesyuarat pada kali ini juga kita bincang persiapan muktamar PAS Pusat yang akan diadakan pada bulan September nanti di Terengganu dan di samping beberapa program biasa parti," katanya.

Ujarnya lagi, calon akan diumumkan pada malam 15 Ogos nanti di Markas Induk PAS di sini.

Berhubung PRK Dun Balakong, beliau menjelaskan PAS tidak akan menurunkan calon dan menyerahkan hak mengundi sepenuhnya kepada ahli PAS di kawasan tersebut.

"Balakong PAS tidak bertanding PAS tidak menurunkan calon sebab kita nak tumpu kepada Seri Setia. PAS tidak akan halang ahli PAS untuk sokong calon, mereka lebih tahu siapa mereka akan pilih sebab kita pun tidak tengok siapa lawan dia," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Pusat Dato' Takiyuddin Hassan pula menyambut "they know what to do". – HARAKAHDAILY 11/8/2018