Usrah ikut manhaj, jangan banyak 'dapur'

Berita
Typography

GOMBAK: Pelaksanaan usrah mestilah dengan mengikuti silibus manhaj yang dibawa oleh PAS Pusat, demikian arah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Jangan buat usrah sendiri, jangan buat silibus sendiri. Itu jadi celaru. Biar satu dapur saja, jangan banyak dapur sangat. Kalau banyak dapur, jadi sakit perut. Tak boleh.

"Jadi kena satu dapur saja, kena ikut Pusat buat. Forum boleh dibuat bila-bila masa. Dilumatkan dalam usrah," ujar beliau pada Liqa' Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini semalam.

Tuan Guru turut menyentuh mengenai serangan globalisasi terhadap Islam terutama dicabar Barat yang mengaku sebagai kuasa tunggal setelah kejatuhan Soviet Union tahun 1980-an.

Maka menurut beliau, berlakulah serangan terhadap Pusat-pusat Pengajian Islam di seluruh dunia dan agenda tersebut turut diikuti BN yang bertindak menarik pengiktirafan sijil institusi tersebut.

Namun, PAS katanya mengambil langkah dan usaha proaktif mengadakan hubungan dengan universiti rakyat dan pusat pengajian tinggi seperti di Yaman, Syria, Turki, Algeria, Indonesia dan lain-lain.

Maklumnya juga, usaha diteruskan melalui Kerajaan Negeri untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Pusat bagi mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan dalam hal berkenaan. - HARAKAHDAILY 12/8/2018