Abai suara pertikai, kukuhkan perjuangan

Berita
Typography

GOMBAK: PAS mempunyai asas perjuangan paling kukuh, serta himpunan pelbagai ibrah kemahiran dan watak yang menjadikannya utuh hingga boleh mencapai pemerintahan lebih 25 tahun sepertimana di Kelantan.

Sehubungan itu Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Hashim Jasin menyeru seluruh ahli PAS meneruskan perjuangan didukungnya tanpa mempedulikan suara-suara pertikaian yang cuba melemahkan.

Beliau menyifatkan suasana politik ketika ini tidak tumpah seperti kisah Abu Nawas bersama anaknya dengan keldai mereka yang berdepan pelbagai reaksi orang terhadap mereka.

Menurutnya, pemimpin PAS termasuk Ahli Parlimen PAS bergerak seluruh negara membicarakan pelbagai isu, namun diberi reaksi balas serba tidak kena oleh pihak lain.

Pun begitu, ahli PAS ujarnya perlu menyedari, disebalik semua itu pertolongan Allah sentiasa datang kepada jamaah ini dan demi menguatkannya mestilah wujud wala' kepada pemimpin.

Beliau memuji kepelbagaian watak yang ada di dalam PAS di mana semua itu disifatkannya menguatkan dan mengingatkan ahli parti supaya tidak bertindak untuk merosakkan masa depan jamaah.

Nasihat beliau, jangan membusukkan kawan dan sebarang kelemahan mestilah diperkemaskan dengan sentiasa bertindak menjangkakan kebaikan pada masa depan, serta tidak bercanggah syariat.

"Jangan ada suara-suara sumbang. Cukuplah dulu kita dah bersihkan G-18 daripada suara-suara sumbang ini. Sekarang marilah kita bersama-sama membulatkan kerjasama dan melihat matlamat kita.

"Allahu ghayatuna, ar-Rasul saiduna, al-Quran dusturuna, al-Jihad sabiluna, al-Mautu fi sabilillah, Asma amanina," ujarnya pada Liqa' Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini semalam - HARAKAHDAILY 12/8/2018