Dar Al-Abrar perlu RM1.2 juta bina masjid

Berita
Typography

SERI MANJUNG: Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar di Taman Seri Gemilang, Seri Manjung berhasrat melahirkan generasi hufaz yang berkualiti, berilmu, beramal serta bertakwa kepada Allah SWT dan menjadi pewaris Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama Allah di atas muka bumi.

Maahad yang ditubuhkan pada 10 Mei 2007 dan telah didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Perak dengan No Pendaftaran JAIPk/LP/MG.72/09 itu juga bertujuan melahirkan generasi hufaz yang dapat membimbing diri sendiri, keluarga dan ummah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah.

USTAZ IBRAHIM ZAKARIAMenurut pengetua maahad, Ustaz Ibrahim Zakaria pelajar lelaki pada tahun ini seramai 36 orang, begitu juga jumlah pelajar perempuan.

Katanya, jumlah pelajar sejak ditubuhkan hingga sekarang seramai 340 orang kerana pengambilan pelajar adalah terhad.

“Pada peringkat awal pihak kami hanya mampu boleh menempatkan 30 orang pelajar sahaja iaitu 15 lelaki dan 15 perempuan kerana bangunan lama adalah sewa.

“Kini di bangunan baru pihak kami boleh menempatkan seramai 80 orang (40 lelaki dan 40 perempuan) namun untuk kemasukan baru bergantung kepada kekosongan, kemasukan pelajar umur 12 dan 13 tahun sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, pengambilan pelajar pada sesi Januari sahaja dan permohonan dibuka pada September dengan yuran kemasukan RM700 termasuk pendaftaran, asrama, kitab dan yuran bulan pertama sementara yuran bulanan adalah RM300.

“Tempoh pengajian di sini selama tiga tahun sahaja dari tingkatan 1 hingga 3 sahaja,” ujarnya.

Jelasnya lagi, mata pelajaran yang diajar meliputi aqidah, fekah, adab, hadis, tafsir, sirah, bahasa arab, nahu, sorof, muthola’ah, tajwid.

Menurut beliau, maahad menyediakan peluang kepada para pelajar yang ingin menyambung pelajaran iaitu laluan bersijil Thanawi, SPM dan STAM.

Para juga, katanya berpeluang menyambung pelajaran di sekolah menengah agama swasta atau sekolah tahfiz swasta seperti Maahad Tahfiz wal-Qiraat Addin.

“Pelajar-pelajar yang tidak berminat pengajian secara bersijil, mereka juga berpeluang menyambung pelajaran secara talaqqi bersanad di Maahad Dakwah Dar Al-Abrar, pondok-pondok dan maahad hadis sama ada dalam negara atau luar negara,” ujarnya.

Mengenai kawasan maahad katanya, ia dibina di kawasan seluas 2½ ekar yang merupakan tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) yang telah diberi khas kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar untuk membangunkannya.

Katanya, kos keseluruhan pembinaan fasa pertama bangunan tiga tingkat yang telah siap adalah RM1.5 juta merangkumi pejabat, dewan serbaguna (kelas dan surau), asrama lelaki dan perempuan, kantin dan dewan makan, hose reel system, rumah pam dan tandas awam.

“Sehingga setakat ini pihak kami belum mendapat sijil layak menduduki bangunan tersebut kerana kegagalan menyediakan pemasangan GWS SA 100 tersebut sepertimana yang disyaratkan oleh pihak Indah Water atas sebab kekangan kewangan.

“Untuk tujuan itu, anggaran kos ialah RM147,350,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan perancangan pembinaan bangunan untuk fasa kedua adalah pembinaan Masjid Jamek Dar Al-Abrar untuk kemudahan pelajar dan ahli kariah mendirikan solat Jumaat serta menjadi pusat bimbingan ahli kariah dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM1.2 juta.

Katanya lagi, yuran bulanan RM300 hanya mampu untuk menampung keperluan makan pelajar-pelajar, elektrik dan air sahaja.

“Jadi pihak kami masih lagi memerlukan sumbangan, dana atau tajaan bagi membiayai elaun guru-guru memandangkan pelajar-pelajar di sini ada dalam kalangan anak yatim, miskin dan sebagainya,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ustaz Ibrahim di talian 019-2627636, pembangunan masjid Ustaz Abdullah Abdul Hamid (019-734 4818), pentadbiran Ustaz Baharuddin Abdul Latif (019-420 8990).

Sumbangan untuk pembinaan masjid boleh disalurkan ke akaun Bank Maybank Islamic bernombor 558293619696 atas nama Masjid Jamek Dar Al-Abrar manakala untuk maahad melalui akaun Bank Muamalat 0803-0002138-71-4 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar. - HARAKAHDAILY 12/8/2018

2. bilik asramaSuasana bilik asrama pelajar yang selesa.

3. kelas pelajar

Para pelajar mengikuti kelas pengajian.

4. aktivitiAntara aktiviti pelajar perempuan.

5. perhimpunan pelajarPerhimpunan pelajar.

6. jemputan kepada pelajarPelajar maahad juga menghadiri jemputan luar.