Contohi Terengganu laksana hukum syariat

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan lesbian di mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, hari ini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin berkata, kerajaan Terengganu boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam pelaksanaan hukum Syariat Islam.

Katanya, kerajaan Persekutuan harus mengambil insentif agar amalan kegiatan songsang seperti LBGT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) itu dapat dibenteras.

“Hari ini, hukuman sebat terhadap pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun yang mengaku salah pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001, yang dibaca bersama Seksyen 59(1) Enakmen yang sama kerana ‘Musahaqah’ di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu berjalan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang.

“Alhamdulillah, diharap negeri Terangganu dapat dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam pelaksanaan hukum Syariat Islam ini.

“Ini adalah demi masa depan anak-anak kita. Jadi ayuhlah membantu NGO Islam bersuara dan teruskan menyokong kami, untuk amar makruf dan nahi munkar.

“Tahniah kerajaan negeri Terangganu kerana berjaya melaksanakan hukuman berlandaskan Syariat Islam yang syumul,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi NGO Alifbata Srikandi Masyhur mendakwa, aktiviti songsang golongan gay, kelab LBGT, kelab hiburan semakin banyak tanpa sekatan di Wilayan Persekutuan.

Menurutnya, jika dibiarkan akan menjadi ‘barah’ yang tidak dapat dibendung serta mencemarkan agama Islam dan negara Malaysia.

“Penguatkuasaan yang lemah menyebabkan kaum LGBT ini semakin berani mencabar Jabatan Agama Islam dan negeri Terangganu berjaya melaksanakan hukuman sebat,” jelasnya.

Hadir sama menyaksikan hari yang paling bersejarah itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan ramai lagi. - HARAKAHDAILY 3/9/2018