Mahathir bernostalgia, mundur ke belakang

Berita
Typography

PETALING JAYA: Malaysia Baharu yang digagaskan oleh Kerajaan PH kini sedang membawa negara kembali mundur ke belakang, demikian menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Beliau merujuk tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan semula antaranya projek kereta nasional ketiga, dasar pandang ke Timur dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Jelas beliau, Tun M menginspirasikan semula industri automobil yang telah menyaksikan rakyat terpaksa berkorban sejak pertengahan 1980-an membeli kereta dengan harga lebih mahal sedang kualiti lebih kurang.

Terang beliau, hanya selepas kerajaan menggubal dasar automobil nasional 2006 baharulah pengurangan harga kereta dilakukan, tetapi kini Tun M membawa dan memperkenalkan semula kepada nostalgia lama.

"Menteri Kewangan sebut, apabila dilaksanakan industri kereta nasional ketiga, ia tidak akan ambil duit rakyat. Memanglah, tetapi rakyat terpaksa berkorban sekali lagi. Akan dicukai lebih tinggi kepada kereta import.

"Ertinya, kita terpaksa membeli kereta dihasilkan negara disebabkan semangat membangun industri automobil. Rakyat terkorban untuk menghidupkan kereta nasional, sedang ia tidak berjaya pun bersaing di luar negara.

"Hari ini juga mahu bawa semula nostalgia dasar pandang ke Timur dengan melihat Jepun khususnya sebagai rakan kongsi strategik," pada Ceramah Mega PRK N.32 Seri Setia di Padang Futsal TTDI Jaya, di sini semalam.

Terang Dr Zuhdi, ketika Tun M melaksanakan dasar itu dahulu, China adalah negara paling miskin, sedangkan penduduk ramai dan mengamalkan dasar tutup pintu kerana berpegang kepada idealogi Komunis.

Tetapi menurut beliau, setelah 1990-an, China membuka pintu pasaran cukup luas dengan hampir 1.7 bilion penduduknya, tenaga buruh murah hingga berada pada kedudukan kedua sebagai negara ekonomi terbesar.

Malah katanya, Tun M sendiri pada 1990-an memperkenalkan rancangan untuk menggabungkan Asian dengan negara-negara Asia Timur khususnya China, selain Jepun dan Korea.

"Menunjukkan peranan China sudah begitu besar. Hari ini Tun M nak bawa kita undur semula? Bagi negara yang bijak ialah mengimbangkan antara negara-negara di Barat dan Timur iaitulah China dan Amerika.

"Ini dasar dilakukan banyak negara kecil seperti Switzerland (yang) mengambil sikap neutral. Tidak berpihak kepada China atau Amerika. Tetapi ambil kesempatan berniaga dengan kedua-dua," kemuka beliau.

Begitu juga ujarnya, apabila Tun M mengembalikan SST yang dianggap terpencil berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), ia telah memusnahkan harapan rakyat untuk kos hidup diturunkan.

Dr Zuhdi membentangkan bahawa SST dahulunya menetapkan bahawa semua barang tidak dikenakan cukai kecuali item ditentukan, berbanding GST mengenakan atas semua, melain yang dikecualikan.

Tetapi menurut beliau, SST terbaru hampir sama dengan GST, malah lebih teruk apabila dikenakan dua cukai sekali gus sebagaimana disebut Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dato' Abdul Aziz Abu Bakar.

"Dia sebut, SST akan sebabkan barangan tertentu kena cukai 10 peratus, pengilangan dan import. Kemudian kena cukai peruncitan atau perkhidmatan 6 peratus menjadi 16 peratus.

"Jadi janji kos hidup dan barangan pengguna akan turun tidak jadi kenyataan. Waktu GST disifarkan harga barang tidak turun, bila laksana SST harga naik. Apa yang diharap dari PH tinggal harapan," sindirnya. - HARAKAHDAILY 3/9/2018