Jauhi bandar dari politik pihak berkepentingan

Berita
Typography

PETALING JAYA: Perkembangan di kota atau bandar amat penting diberi perhatian kerana ia akan mempengaruhi persekitaran dan sektor lain, di mana mestilah dijauhi dari dikuasai oleh politik atau pihak berkepentingan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, kewujudan sejarah tamadun-tamadun dimulakan di kota, namun tetap mempunyai hubungan langsung dengan kawasan pedalamannya.

Sehubungan itu kata beliau, setiap perkara sama ada kebaikan mahupun keburukan di kota akan kembali mempengaruhi kawasan luar bandar atau pedalaman kerana saling melengkapi antara tempat itu.

"Allah perintahkan Nabi S.A.W hijrah ke Madinah, masa itu (nama) Yathrib. Ada 200 agama masa di situ. Animisme, kepercayaan nenek moyang, pelbagai sembahan. Juga ada suku kaum yang banyak.

"Selepas 10 tahun Rasulullah masuk Madinah, ia jadi kota, tamadun yang mencipta dunia baharu. Sama sepertimana sekarang, bandar ini berpunca daripada tuan-puan," ujarnya pada ceramah PRK N.32 Seri Setia di Seri Menanti, Ara Damansara, di sini kelmarin dahulu.

Terangnya, ramai orang dari pedalaman yang berhijrah dan membangunkan kota-kota hingga lahirnya tamadun, termasuk kebanyakan bandar di negara ini yang berkembang dari kedatangan orang luar.

Namun tegas Sanusi, peranan mereka yang mendiami kota atau bandar sangat penting kerana kejayaan, hatta runtuhnya sesuatu tamadun juga bermula dari penduduk di dalam kota itu sendiri, lalu meluas ke sekitarnya.

Jelas beliau, kerana itulah sejak ratusan tahun dahulu, mereka yang mempunyai kepentingan lain daripada agenda negara, akan menguasai ekonomi dan politik di bandar-bandar strategik sebagaimana dilakukan PH kini.

"Tengok 200 kilometer 'radius' daripada Kuala Lumpur ini, semua PH menang. Tengok juga sampai ke Melaka, Negeri Sembilan, Temerloh, Ipoh, Pulau Pinang, itu mulanya di Lembah Klang.

"Kota-kota semua PH ambil. Di Kedah, PAS menang di belah hulu (pedalaman), pekan semua PH menang. Pasai apa? Pasai depa (mereka) tahu apa boleh buat bila menguasai kota dan bandar.

"Kita tengoklah di mana dunia pun, kalau berlaku kerosakan besar di kota-kota, akan tanggung akibat kerosakan ini adalah orang-orang kampung," ujarnya yang juga Adun Jeneri.

Begitu juga bidas beliau, pemilihan pemimpin tidak selaras persekitaran dengan tanggungjawabnya, seperti melantik individu yang berada di bandar besar untuk mengurus hal ehwal luar bandar.

Hal tersebut disifatkan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik itu umpama tikus menjaga labu dan rakayat akan melihat lebih banyak kejutan bakal berlaku dari perubahan pada sistem asas kenegaraan ini dibawah pemerintahan PH.

Kerana menurut beliau, pembentukan negara ini sejak awal telah dibina oleh PH yang menerajui politik dengan menguasai persepsi orang ramai secara tidak benar, tanggapan, palsu, rekaan dan fitnah, bukannya bukti dan fakta.

Sebab itu jugalah katanya, Kerajaan PH hari ini terpaksa berbohong, mungkir janji dan seumpamanya yang menuntut rakyat menyedarkan PH bahawa tembelang mereka suah pecah dan membusuk.

"Jadi saya bawa mesej orang luar bandar, orang kampung, orang hulu. Mari ke Seri Setia ini minta orang sini yang kami hormat, pandang tinggi sebagai lebih bertamadun, lebih terbuka, lebih maju, supaya buat pilihan yang betul, pilihlah Dr Halimah Ali," serunya. - HARAKAHDAILY 6/9/2018