Petugas luar semarakkan kempen PRK Seri Setia

Berita
Typography

SHAH ALAM: Markas PAS Cawangan TTDI Jaya yang diletakkan di bawah Zon 3 untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dibantu oleh muslimat PAS dalam dan luar negeri Selangor sebagai sebahagian jentera PRK.

Ketua Helwa Zon 3, PRK Seri Setia, Wan Sawiah Wan Nik menyatakan bahawa tenaga muslimat memang perlu digembleng untuk kemenangan PAS di Seri Setia.

Katanya, PAS benar-benar berusaha untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu signal mengenai pelbagai kepincangan telah berlaku selepas 100 hari pemerintahan mereka.

Antara muslimat yang turut mencurah tenaga di Bilik Operasi Zon 3, TTDI Jaya ialah Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak serta muslimat PAS Kawasan Sepang, Tanjung Karang dan Sungai Besar.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau, Masita Mohamed Ali berasa bangga menjadi sebahagian jentera PAS yang ditugaskan menghantar risalah serta meraih undi di TTDI Jaya.

Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Tanjung Karang, Ustazah Marsunah Jemain juga tetap bertenaga membantu menyiapkan bahan-bahan kempen untuk diedarkan dalam program ‘kepung masjid’ selepas solat Jumaat hari ini.

Pemangku Ketua Muslimat PAS Selangor, Noriha Awang berkata, kehadiran muslimat-muslimat tersebut memang membantu menyemarakkan lagi gerak kerja yang disusun rapi sepanjang tempoh berkempen dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan yang diberikan. – HARAKAHDAILY 7/9/2018