Rapatkan saf elak pihak gugat akidah ummah

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa berusaha membangunkan Kelantan berasas acuan Islam serta seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, pembangunan negeri itu dipacu berdasarkan ‘Merakyat Membangun Bersama Islam’.

“Alhamdulillah, masyarakat Kelantan sentiasa menyokong dan mendokong dasar yang dibawa tersebut. Semoga Allah memberkati segala usaha bagi memartabatkan Islam di muka bumi ini,” katanya pada perutusan Tahun Baru Hijriah 1440.

Sambutan Hijrahtul Rasul peringkat negeri diadakan di Masjid Ismaili Pasir Pekan malam tadi dirasmikan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassurudin Daud, anggota-anggota Exco dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Ustaz Ahmad juga berkata, sempena tahun baharu hendaklah kita berganding bahu, bersatu-padu, merapatkan saf dan mengeratkan kesatuan.

Katanya, kesatuan itu dapat membendung usaha pihak tertentu untuk menggugat akidah ummah, meruntuh moral, memecah keharmonian dan keamanan negara. – HARAKAHDAILY 11/9/2018