PRK disengajakan tidak patut berlaku

Berita
Typography

KOTA BHARU: Pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen tidak wajar serta merugikan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pada masa yang sama ia tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“PRK yang akan diadakan hanya membazir dana kerajaan. Kos yang digunakan untuk tujuan itu menelan berjuta ringgit.

“Kerajaan Malaysia pun tiada duit sehingga terpaksa buka Tabung Harapan, jadi tak sepatutnya PRK yang disengajakan itu akan berlaku,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas PRK yang bakal diadakan di Port Dickson memandangkan bekas timbalan perdana menteri itu memilih kawasan parlimen berkenaan.

Tambahnya, apa lagi hanya untuk memenuhi cita-cita seorang individu yang mahu menjadi perdana menteri.

Beliau berpandangan, PRK tersebut hanya membuang masa dan kewangan semata-mata.

“Setiap PRK memerlukan kos PRK berjuta ringgit. Dahulu dah ada Langkah Kajang, sekarang nak buat lagi,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/9/2018