Pimpin kecenderungan anak muda masa kini

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kecenderungan anak muda masa kini mesti dipimpin hingga berjaya membuahkan penyertaan golongan itu bersama PAS, demikian seru perwakilan Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz.

Beliau memetik penulisan Dr Yusuf al-Qardhawi mengenai halangan-halangan kepada penyelesaian gaya hidup Islam dengan merungkai pelbagai taktik penjajah dalam memerangi Islam.

"Pertama, melahirkan keraguan terhadap Islam sama ada dalam aspek akidah, syariah, kebudayaan dan tamadun. Juga melancarkan kempen-kempen memburukkan Rasul, Islam, kitab, umat dan sejarahnya.

"Ini dilakukan melalui pengajaran Orientalis dan Kristianisasi oleh tokoh-tokoh yang memakai uniform agama," kemuka beliau membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.

Kedua bentangnya, serentak dengan usaha membesar kepimpinan Sekularisma palsu, dilancarkan pula kempen-kempen terancang bagi memburukkan nama baik para pendakwah Islam yang ikhlas.

Dedah Naufal, ia dilaksanakan dengan cara menyebarkan berbagai bentuk pendustaan dan tuduhan ke atas peribadi para pendakwah dan terhadap pemikiran, bertujuan menghalang orang ramai mengikuti seruan tersebut.

Jelasnya, ia membuktikan musuh-musuh Islam itu telah lama dan berterusan membuat kerja jahat mereka bagi memastikan kebangkitan Islam dapat dikekang biarpun beralih zaman.

"Pasca PRU14, kebangkitan PAS sudah dinafikan bukan semata-mata atas kekuatan musuh dan bukan juga atas kelemahan kita semata-mata.

"Tetapi kita perlu akui politik tanah air kita telah dikuasai oleh politik alam maya yang menggunakan kuasa viral sebagai senjata bagi melemahkan kita.

"Ini juga membuktikan PAS telah gagal menguasai dunia siber, alam maya, media sosial dan apa juga namanya dalam PRU yang lepas.

"Lebih spesifik sahabat-sahabat sekalian, bidang kuasa sektor ini adalah pada bahu kita anak muda yang perlu dimuhasabah oleh kita semua," ujarnya membangkitkan kesedaran.

Menurutnya, anak muda kini amat terdedah kepada budaya viral dan paling dirisaukan adalah pembudayaan tiada batasan halal dan haram dan tanpa kenal dosa dan pahala.

Hal itu jelas beliau, menguji Pemuda PAS kerana anak muda begitu mudah membangkitkan politik fitnah dan persepsi yang akhirnya tersalah menterjemahkan emosi viral ke atas kertas undi.

"Anak muda juga jemu politik. Beberapa tempat Dun dan Parlimen merekodkan bilangan undi rosak tinggi PRU lepas. Malah dalam PRK yang baru, jelas memperlihatkan wujud suatu idea atau sentimen memboikot pilihan raya tersebut.

"Peratusan keluar mengundi tidak mencapai walau 50 peratus. Kita percaya ia adalah akibat aksi politikus yang menjengkelkan. Kita PAS tidak perlu terlibat dengan kerja-kerja populis polemik politikus oportunis, pragmatis, apa juga namanya.

"Antara terbaru menggerakkan langkah dari Kajang ke Port Dickson yang akhirnya kita percaya luka kecil bakal berdarah kembali," peringat beliau.

Naufal juga menyentuh mengenai arus Islamophobia yang dinyatakannya bahawa anak muda bukan semuanya mengenal Islam dan tidak juga menolak Islam sepenuhnya.

Masih ramai anak muda katanya, bersetuju dan sedar akan kebaikan yang Islam bawakan, tetapi mereka tidak selesa hanya dengan 'brand' atau label Islam itu.

"Mereka tahu dan sedar kebaikan bersama dengan PAS, akan tetapi sebab namanya Islam, maka masyarakat merasakan PAS perlu dipersoal dan dinilai. Ini jelas memperlihatkan jarum musuh telah lebih awal mendahului kita.

"Apabila masyarakat membaca dan melihat Islam dengan nilai Barat sehingga lahirnya Islam Liberal dan lain-lain idealogi lagi.

"Maka kita perlu, pertama, menguasai politik intelektual dengan memperbanyakkan, menerangkan kebaikan Islam menghentikan hentaman. Memang jelas kebobrokan, kepalsuan, kebatilan ada pada pihak lawan.

"Tapi masyarakat sentiasa menunggu penyelesaian yang Islam tawarkan. Terkadang kita terlalu kuat menghentam sehingga lupa menawarkan penyelesaian.

"Kita jangan ulangi kebebalan Kerajaan PH yang masih berwatak pembangkang dan terus berdendam. Kita harus terus menyampaikan kebaikan.

"Antara usaha yang boleh dikembangkan lagi adalah memperbanyakkan wacana seperti 'Town Hall', Teh Tarik for Malaysia dan sebagainya. Ia perlu dipadatkan dengan menyentuh hal-hal yang lebih dekat dengan kita hari ini.

"Seperti hal kepenggunaan, hal harga barang, ekonomi, mata wang, percukaian, generasi anak Felda, peneroka dan lain-lain," perinci beliau.

Beliau juga menyeru Pemuda harus lebih ke hadapan dan memimpin pembudayaan perbincangan intelektual dan kritis, selain menghidupkan sikap benar dan berintegriti.

Sikap benar dan berintegriti jelas beliau, sangat penting untuk PAS agar sentiasa dilihat mengambil langkah yang benar, seterusnya menguasai kecenderungan anak muda berpolitik.

Menurutnya, masih banyak sentuhan anak muda yang gagal PAS santuni dan dalami terutama segala mikro budaya anak muda semasa agar tidak kosong dan menghanyutkan mereka.

"Kita perlu duduk menukar pandangan ini dengan bersama segala 'trend' kecil mereka termasuk hal industri muzik, bahan bacaan, hiburan, sukan, filem dan drama serta sebagainya.

"Usaha ini membolehkan kita 'channel' segala 'trend' mereka dengan haluan yang lebih baik bersama dengan Islam.

"Yang akhirnya membuahkan penerimaan anak muda terhadap politik Islam dan realiti Islam "is the way of life"," ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/9/2018