Rakyat Malaysia dilanda gelombang resah

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Rakyat Malaysia dilanda gelombang resah di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun ianya belum sampai tempoh seratus hari.

Umat Islam khususnya mula bimbang apabila hak-hak yang dijamin termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam, keistimewaan Raja-raja Melayu mula dipertikaikan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata pada masa yang sama, hak bumiputera serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga berhadapan situasi yang sama.

Katanya, perkara itu seperti disengajakan pihak tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti agama serta keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, sepatutnya mereka menjaga keharmonian dalam kepelbagaian ini sebaik mungkin.

Nuridah berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-58 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini.

Muktamar berkenaan dirasmikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Tambahnya lagi, amanah itu perlu dijunjung bagi memelihara keharmonian negara ke arah kemajuan yang dapat membela survival rakyat.

“Terutamanya dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terhadap kedudukan agama Islam tidak boleh diambil mudah.

“Kita yakin inilah dasar-dasar yang dapat menjamin keharmonian dalam kepelbagaian ini kekal, insya Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2018