Pendidikan dekatkan PAS dengan masyarakat S'wak

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Pendidikan adalah nadi terbaik untuk masyarakat mengenal PAS, demikian menurut Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sarawak, Abdul Muhaimin Roslan.
 
Jelas beliau, dalam usaha PAS memperkenalkan politik, mungkin ada sesetengah sentimen kebencian, tetapi tidak berlaku apabila dilaksanakan menerusi pendidikan.
 
"Kita buktikan bahawa pada tahun 2005, Sarawak hanya membuka satu PASTI sahaja dengan keadaan penerimaan masyarakat di sana. Tetapi kita buktikan bahawa masyarakat boleh menerima sistem kita. 
 
"Pada tahun 2018, 45 PASTI berjaya dioperasikan di seluruh Sarawak, sehingga berjaya menerima negeri terbaik pertambahan murid. Tahniah walaupun cabaran kita berbeza dengan geografi, suasana, penggerak.
 
"Tetapi kita berjaya buktikan bahawa sistem kita berjaya digunapakai dalam masyarakat," ujarnya membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.
 
Katanya, parti politik lain mungkin boleh fokus kepada perkara menguntungkan mereka, iaitu undi, tetapi PAS bukan populis, sebaliknya memilih jalan mendekatkan masyarakat dengan ilmu.
 
Pun begitu ujarnya, pengurusan pendidikan PAS perlu sentiasa ditambah baik kerana inilah kepercayaan masyarakat yang meletakkan harapan tinggi kepada PAS.
 
Kejayaan PAS menerusi pendidikan juga jelasnya, kerana ahli-ahli bersedia diposisikan walaupun bergaji kecil dan bekerja di belakang tabir, namun berjaya mengeluarkan produk yang ramai setiap tahun. 
 
"Orang tak kenal pun siapa yang menuai, siapa yang membaja hasil-hasil ini? Kerana di belakang mereka ini ada amilin yang bekerja walaupun orang tidak mengenali. 
 
"Mereka ini adalah unsung hero di dalam parti kita yang bersedia diposisikan, yang bersedia bekerja walaupun nama mereka tidak dikenali. 
 
"Walaupun mereka hanya bekerja di belakang tabir, tetapi dengan pergerakan mereka, maka masyarakat mengenali PAS," sanjung beliau.
 
Beliau juga menyentuh mengenai cabaran di Tanah Borneo dan mengharap lebih ramai Muhajirin datang menawarkan amal, komitmen, wang ringgit dan pengorbanan. -HARAKAHDAILY 14/9/2019