Beri perhatian kritikal isu perguruan - Pemuda PAS

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Isu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu yang mahu ditukar fungsi kepada Kolej Vokasional telah dibangkitkan Perwakilan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim.
 
Menurut beliau, kerajaan terdahulu telah menukar fungsinya, sedangkan IPG Kota Bharu adalah IPG kedua terbesar dan kedua tertua dalam negara yakni berusia lebih 60 tahun.
 
"Kita lihat walaupun bertukar kerajaan, isu ini masih belum selesai. Suara-suara daripada warga pendidik yang mahukan supaya IPG ini tidak ditukar fungsi, bahkan dikekalkan.
 
"Apabila kita merujuk yang terakhir pada 11 Ogos kenyataan daripada Pengarah IPG tersebut, bahawa fungsi tersebut telah pun bertukar secara perlahan-lahan peranannya. 
 
"Asalnya kita lihat ribuan pelajar penuntut dan akhirnya susut hanyalah tinggal 200 orang," ujarnya membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini semalam.
 
Dalam ucapannya, beliau turut membidas usaha Menteri Pendidikan melantik aktivis G25 sebagai Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan menunjukkan tidak sensitif, selain isu pelantikan sebagai Presiden UIAM.
 
"Menteri Pendidikan sepatutnya mendengar rintihan dan juga keluhan daripada masyarakat. 
Jadi kerana itu kita ingin menyatakan supaya jangan ditutup ataupun ditukarfungsikan IPG ini.
 
"Kita juga menuntut dan mendesak supaya pihak Kementerian menjaga kebajikan warga pendidik khususnya iaitulah dalam isu guru duka lara," ujarnya merujuk isu guru berjauhan dari pasangan atau keluarga.
 
Terdahulu, beliau menjelaskan sejarah panjang lebar usaha dan sumbangan PAS kepada bidang pendidikan, serta kejayaan dicapai di Kelantan dalam sektor tersebut, selain cabaran-cabaran yang telah ditempuh. -HARAKAHDAILY 15/9/2018