22
Tue, Oct
27 Artikel Baru

PAS tanding PRK Port Dickson, umum calon esok

Berita
Typography

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dan calon diumumkan malam esok.

“Kita melihat, kita bersetuju untuk bertanding. Umum calon malam besok di Port Dickson,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat di Rusila, malam ini. 

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustaffa Daharun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini, sementara penamaan calon pada 29 September manakala 9 Oktober bagi hari mengundi awal.

SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Dato' Mohamad Ariff Md Yusof pada 12 September lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.132 Port Dickson berikutan penyandangnya Dato’ Danyal Balagopal Abdullah telah meletak jawatan pada 12 September. – HARAKAHDAILY 26/9/2018