PAS tak gentar hadapi Anwar

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS mendapat sokongan dan dukungan banyak pihak terutama dari NGO-NGO dan para pemimpin politik yang meminta parti itu bertanding pada PRK Port Dickson.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan bekas pegawai tinggi tentera sebagai calonnya juga kerana di situ terdapat kem tentera dan ramai bekas tentera juga.

Maklumnya, memandangkan kawasan itu mempunyai penduduk pelbagai kaum, PAS akan menggerakkan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai jentera pilihan raya tersebut.

"Suasana bukan macam dulu. Kalau dulu Kerajaan Pusat lain, Kerajaan Negeri sama Kerajaan Pusat. Sekarang ini kita ingat Kerajaan Pusat itu agak lebih fleksibel daripada dulu.

"Dan kita melihat media pun agak lebih terbuka daripada dulu. Itu suasana yang menjadi peluang kepada kitalah. Walaupun macam saya katalah, untuk menang tidak mudah, tetapi tak mustahil kita boleh menang.

"Kita pernah menang di Arau. Arau yang BN besar juga yang majoriti dulu, kita boleh menang iaitu Mursyidul Am kita," ujarnya pada sidang media di Masjid Rusila, Marang, pagi tadi.

PAS juga menurutnya mengambil kira juga PRK Sungai Kandis dan Seri Setia di mana berlaku anjakan sebagai perkiraan untuk menyertai PRK Port Dickson itu, selain pengalaman pernah memenangi PRK lain.

Mengulas kemungkinan berlaku pertandingan enam penjuru, beliau berharap undi PAS tidak pecah dan yakin ahli PAS tidak berubah selain pengundi BN dahulunya berpihak kepada PAS.

"PH sendiri tidak sekata. Bahkan saya baca berita Bersatu di Negeri Sembilan pun dibubarkan. Itu ada masalah dalaman.

"(Insya-Allah PAS) Mampu, mampu, mampu, mampu, walaupun dia nak mudah. Tapi gelombang itu akan ada. Sekurang-kurangnya kita dapat meningkatkan jumlah undi sekurang-kurangnya kalau tak menang," ujarnya.

Menjawab mengenai Umno yang tidak memberi sokongan pada PRK ini, Tuan Guru menyatakan bahawa secara konsep politik mengalami perubahan dan PAS tidak berasa hati, kerana tidak selama-lamanya bermusuh atau berkawan.

PAS katanya, banyak meneroka dalam pengalaman politik sejak tahun 1950-an lagi dengan menyertai pilihan raya tahun 1955 dengan Umno dan Parti Negara.

"Tahun 60-an masa konfrontasi dengan Indonesia, kita dah menyertai pilihan raya. Kemudian 1969 selepas 13 Mei kita menyertai pilihan raya. Kita pernah kerjasama dengan Parti Sosialis dan parti-parti yang lain.

"Masa itu parti kiri dalam masa konfrontasi. Dan kerjasama dengan Umno dan menubuhkan Barisan Nasional sama-sama tahun 1974. Dan kita keluar tahun 1979, kita keluar.

"Lepas itu, kita mengorak balik tahun 1982, sehingga terpaksa Umno mengambil Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk lawan gelombang PAS di masa itu.

"Itu digunakan untuk lawan PAS masa itu. Jadi kita tak peliklah. Kita dah biasa. Kemudian kita bersama dengan Tengku Razaleigh, kita berjaya tawan Kelantan.

"Sama dengan Dato’ Seri Anwar berjaya tawan Terengganu, tawan Kedah lepas daripada itu bersama dengan Perak. Itu kita, pengalaman kita menyertai Kerajaan Campuran, menyertai Kerajaan Pakatan, macam-macam jenis kerajaan kita pernah ikut serta," hujahnya.

Beliau juga menegaskan calon PAS tidak gentar berhadapan Anwar di mana undi akan ditentukan rakyat selain pengalaman juga menunjukkan PAS pernah mengalahkan nama besar seperti Dr Mahathir Mohamad di Kota Star Selatan tahun 1969. - HARAKAHDAILY 28/9/2018