PASRelief hantar bantuan gempa bumi Sulawesi

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) akan segera mengirimkan sumbangan awal kewangan ke Sulawesi, Indonesia, berikutan gempa bumi yang melanda wilayah itu petang semalam.

Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, atas semangat persaudaraan, kemanusiaan dan agama, sumbangan tersebut akan dikirim melalui rakan kerjasama PAS iaitu NGO dan juga Partai Islam di sana.

Maklum beliau, menerusi rakan kerjasama tersebut, tindakan untuk segera melihat segala isu utama dan keperluan-keperluan terpenting pada waktu ini dapat digariskan bagi merangka usaha bantuan susulan.

"Paling penting pada pengalaman kita bila berhadapan gempa bumi ini ialah bantuan untuk mengadakan Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan (RUSUK). Kemudian bantuan makanan dan mengadakan bekalan air di pusat-pusat penempatan sementara.

"Dalam dua misi kita yang dilakukan pada bulan Ogos dan juga September di Lombok, kita sudah punya sedikit pengetahuan dan pengalaman dan juga 'networking' untuk menyalurkan bantuan segera ke Sulawesi insya-Allah.

"Keadaan sebulan dua selepas gempa bumi melanda, penduduk yang terjejas biasanya tidak dapat keluar bekerja kerana terpaksa menyelesaikan masalah runtuhan kediaman kerosakan infrastruktur, kehilangan tempat bekerja.

"Jadi mereka memerlukan makanan. Yang paling mustahak untuk kita tangani ialah mengelak mereka daripada lapar dan basah dek hujan. Kerana bulan November musim hujan akan melanda bahagian Timur Indonesia termasuk di pulau-pulau Lombok dan Sulawesi," terangnya.

Katanya, Malaysia sebagai negara terhampir dengan Indonesia yang sedang ditimpa bencana gempa bermula di Lombok kini Sulawesi pula, apatah lagi dengan 288 juta rakyat, negara itu mengalami kesukaran menangani mangsa.

Seru beliau, dengan rezeki yang Allah Taala beri kepada rakyat Malaysia, eloklah kiranya atas satu umat serumpun di Nusantara dan satu akidah, untuk sama-sama membantu mangsa gempa tersebut.

"Sumbangan dan keperihatinan rakyat Malaysia akan membantu meringankan derita sahabat-sahabat kita di samping kita berharap berdoa semoga Allah mengelak bencana seperti itu melarat ke menimpa kita di Malaysia pula. Insya-Allah," doanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa atau 5640 7061 2333 atas nama PASRelief dan sebarang pertanyaan hubungi 012-5969220 (Sanusi). - HARAKAHDAILY 29/9/2018