PM: Beri peluang Tun M habis tempoh

Berita
Typography

POKOK SENA: PAS berpandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang menerajui Malaysia hingga habis tempoh.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga berkata, Mahathir yang mempunyai pengalaman mentadbir Malaysia suatu ketika dahulu, wajar diberi kepercayaan dan masa untuk membetulkan kepincangan pentadbiran yang ditinggalkan oleh pemerintah sebelumnya.

"Beri dia peluang sehingga habis tempoh dan bukannya tidak sampai beberapa bulan sudah rancang hendak tukar PM," tegas beliau kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) kali ke-14, di sini, tengah hari tadi.

Apabila ditanya, sekiranya Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, adakah layak menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, siapa sahaja layak untuk menjawat jawatan itu dan terpulang kepada rakyat untuk memilihnya.

"Dalam Islam yang memilih pemimpin adalah rakyat dan pemimpin tidak boleh mengangkat diri sendiri apatah lagi kalau mempunyai niat untuk mendapatkan nama dan kuasa," jelasnya.

Justeru itu, kata belaiu penyertaaan PAS dalam PRK Port Dickson itu adalah lebih kepada membawa mesej tidak akan memberi laluan mudah kepada orang yang bernafsu untuk menjadi pemimpin.

Beliau berkata, walaupun berlaku pertandingan tujuh penjuru seolah-olah cubaan untuk ‘pecah undi’ namun PAS mempunyai pengundi tegarnya tersendiri.

"Di Kedah pada PRK Bukit Selambau pada 2009, berlaku pertandingan 15 penjuru. Jadi itu perkara biasa," ujar Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang.

Oleh itu, ujarnya sama ada PAS berpontensi menang atau tidak, terpulang kepada pengundi.

Namun, bagi beliau tidak mustahil andainya PAS mencipta sejarah memenangi PRK Port Dickson kerana tidak ada yang mustahil dalam politik. – HARAKAHDAILY 29/9/2018