Krisis ekonomi: Pendekatan Anwar tunduk pada Barat

Berita
Typography

PORT DICKSON: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan pendekatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika krisis ekonomi negara pada tahun 1990-an adalah dengan tunduk kepada Barat

Menurut beliau, Anwar yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan mahu menyelesaikan krisis kewangan melalui Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang berada di bawah pengaruh Amerika dan zionis.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Umum PAS PRK Parlimen Port Dickson di Telok Kemang.

Kata beliau, Anwar mahu mengikut langkah yang dibuat oleh beberapa negara lain yang tunduk kepada Barat seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan lain-lain.

"Tun Mahathir tak setuju dengan tindakan menteri kewangan yang nak jadi calon perdana menteri ini pada masa itu dan beliau telah mengambil satu langkah yang bebas daripada IMF," ujar ahli Parlimen Marang tersebut.

Kata beliau, campur tangan daripada Tun Mahathir telah menyaksikan Malaysia pulih daripada krisis ekonomi tanpa terbelenggu dengan IMF.

Presiden PAS melahirkan rasa pelik apabila ada calon yang terpaksa meminta ampun kepada Lembaga Pengampunan.

Beliau juga menyatakan bahawa tidak perlu meminta ampun sekiranya tidak bersalah.

"Kepada orang yang ada maruah, tak perlu minta ampun. Dia tidak bersalah, minta ampun apa?" ujar beliau.

Di samping itu, beliau juga menjelaskan bahawa calon PAS, Left. Kol (B) Nazari Mokhtar tidak terikat kepada apa-apa kes mahkamah dan tidak memerlukan pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.

Tuan Guru yang juga Naib Ketua Ulama Sedunia menyatakn bahawa tidak boleh jawatan diberikan kepada orang yang oportunis

"Tempat tok lebai dia sembahyang, tempat benggali pakai serban sikh, tempat kuil hindu menari hindu, tempat buddha menari buddha," kata beliau.

Tambah beliau, seseorang mestilah konsisten dengan agamanya walau di mana dia berada.

"Ini orang yang boleh berlakon dengan semua puak yang ada di Malaysia ini, tak konsisten," kata beliau.

Beliau sebelum itu menyebutkan bahawa Islam memiliki adabnya yang tersendiri dalam memilih pemimpin. – HARAKAHDAILY 1/10/2018