Alasan tuntutan mahkamah tidak munasabah

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pembayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan dapat diselesaikan tanpa keputusan mahkamah sekiranya Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab membayarnya.

Malah, sekalipun terdapat tuntutan di mahkamah mengenainya, Kerajaan Persekutuan tetap tidak terhalang di sisi undang-undang untuk melakukan pembayaran sebagaimana perjanjian berkaitan.

Demikian penegasan Setiausaha PAS Kelantan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi menyangkal alasan dikemukakan Kerajaan Persekutuan berkaitan Royalti Petrolium kepada Kerajaan Kelantan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin berkata, Pusat menunggu dan menangguhkan pembayaran itu berikutan terdapat tuntutan mahkamah yang masih dalam perbicaraan.

"Alasan Kerajaan Persekutuan itu tidak munasabah dan berniat tidak baik. Mana ada satu perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah, tiba-tiba tidak boleh diselesaikan di luar setelah dipersetujui dan tuntutan dilaksanakan.

"Mana ada undang-undang yang menghalang daripada bayaran royalti itu dibuat disebabkan alasan mahkamah sedang berjalan," ujarnya yang kini berada di Sarajevo, Bosnia kerana menghadiri Sarajevo Halal Fair.

Jelas beliau, kerajaan negeri membuat tuntutan tersebut mengikut perjanjian antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Petronas yang juga tertakluk kepada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Menurut beliau, semasa tuntutan tersebut dibuat pihak Kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa adalah Exco Kerajaan Negeri.

"Kalau Kerajaan Pusat sekarang ini sudah setuju, maka laksanakanlah perjanjian itu dengan Kerajaan Negeri dan Petronas, jika benar Kerajaan PH lebih bertanggungjawab dan berhasrat menunaikan janji manifestonya.

"Kes ini boleh diselesaikan di luar mahkamah tanpa menunggu keputusan. Tetapi menangguhkannya dengan alasan tersebut ternyata tidak munasabah dan cuba mengelirukan serta mengkhianati rakyat Kelantan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 1/10/2018