Karnival Pantai usaha tarik pelancong ke Terengganu

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri telah menganjurkan Karnival Pantai 2018 sebagai satu usaha menarik pelancong yang diadakan di Pantai Batu Buruk, di sini 27 September lalu dan berakhir kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ustaz Ariffin Deraman berkata, karnival tersebut adalah lanjutan daripada pesta pantai yang menjadi tradisi masyarakat di situ.

"Sejak puluhan tahun yang lalu, orang kampung mengenalinya dengan main pantai. Tetapi kita telah mengubah pengisian dan namanya. Ianya adalah untuk kekalkan tradisi.

"Macam hari ini kita ada permainan tradisional seperti bola tin, terompah, dam dan wau yang ada di Terengganu seperti wau bulan, wau kucing dan lain-lain," ujarnya pada program itu kelmarin.

Menurutnya, lebih 20,000 pengunjung direkodkan ke karnival tiga hari itu yang datang daripada seluruh pelusuk negeri termasuk juga daripada negeri jiran berdekatan iaitu Kelantan dan Pahang.

Maklumnya, kerajaan negeri juga memasukkan program tersebut dalam kalender pelancongan sebagai acara tahunan disamping mengadakan jualan dan pameran berkaitan usahawan negeri itu. - HARAKAHDAILY 1/10/2018

IMG 20181001 WA0034