Pakai kalung sekadar rai tetamu

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata memasuki rumah ibadat agama lain bukan suatu kesalahan dan tidak pula diharamkan dalam agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak pernah mempertikaikan sesiapapun yang ingin memasuki rumah agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama bukan Islam.

"Dalam sejarah Islam ada menceritakan bahawa Saidina Umur pernah memasuki gereja di Palestin. Apa yang dilarang dalam Islam ialah memasuki rumah ibadat agama lain dengan tujuan untuk mengikuti upacara keagamaan mereka," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, memakai pakaian agama lain itu tidak boleh di dalam Islam tetapi kalau sekadar memakai kalung untuk meraikan tetamu seperti budaya orang Hindu yang akan memakaikan kalung kepada tetamu, tidak menjadi satu kesalahan kerana sebagai meraikan.

"Yang menjadi kesalahan adalah memakai pakaian agama bukan Islam itu tidak dibolehkan dalam Islam," jelasnya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengatakan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak konsisten dalam mempertahankan jati diri sebagai seorang Islam dalam konteks memakai pakaian agama lain dan menari bersama penganut agama lain. – HARAKAHDAILY 2/10/2018