Ada sesuatu tidak kena pada calon PH

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu turut menyertai gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson adalah untuk menang.

Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang berkata, ini setelah melihat sesuatu yang tidak kena kepada calon Pakatan Harapan.

“Kita harap, kita menang dan kita masuk (PRK) ini untuk menang, insya-Allah. Masalah kemenangan atau kekalahan itu ditentukan oleh pemilihnya dalam pilihan raya.

“Cuma apa yang kita lihat bahawa calon Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini dia seorang yang terkenal di peringkat internasional, seorang yang berpengaruh dalam masyarakat tetapi, apabila ditentang secara yang begitu meluas oleh pelbagai sektor rakyat. Kita melihat ada sesuatu yang tak kena pada diri dia mengikut pandangan mata rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Kursus Pengurusan Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem E-Dewan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di sini, semalam. Hadir sama pada sidang media itu ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali.

Katanya, ini ditambah pula dengan kemunculan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang turut bertanding.

“Saiful Bukhari juga masuk bertanding secara tiba-tiba berdepan dengan Anwar. Kita harap perkara ini tidak berlakulah, maksudnya tidak menjadikan isu Anwar itu mencemari demokrasi,” jelasnya. - HARAKAHDAILY 2/10/2018