PRK P.132 PD: Panduan memilih pemimpin

Berita
Typography

PRESIDEN PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan huraian penting sebagai panduan untuk dipertimbangkan oleh para pengundi PRK P.132 Port Dickson khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Menurutnya, PRK Port Dickson menjadi 'besar' kerana diadakan bermotif untuk seseorang menjadi Perdana Menteri, sedangkan perkara tersebut tidak sepatutnya dilangsungkan menerusi satu PRK.

"Adakah wajar orang sini, orang Port Dickson sahaja yang pilih (seseorang untuk jadi) Perdana Menteri? Betul ke (amalan dan tatacara begini)?" soalnya ketika berceramah di Bukit Tembok, Linggi, semalam.

Jelas beliau, amalan sedia ada di negara-negara lain di dunia, pemilihan Presiden atau Perdana Menteri dilaksanakan menerusi PRU atau daripada parti-parti yang memenangi PRU, sedangkan PRK hanya diadakan apabila berlakunya hal-hal yang tertentu.

Katanya, calon yang dibawa bertanding di situ telah dijelaskan sebagai sudah mendapat pengampunan yang bererti apabila meminta pengampunan menandakan sebagai mengaku salah.

Terangnya, sebagaimana dalam Islam, meminta ampun daripada Allah mestilah dengan syarat taubat meninggalkan maksiat dilakukan serta menyesal serta mengakui atas kesalahan yang telah dilakukan.

"Begitulah orang yang buat salah dengan sesiapa pun memerlukan minta ampun. Mesti dia mengaku salah, barulah minta ampun. Kalau tak mengaku salah, kalau tak bersalah, minta ampun apa?

"Bila minta ampun, maknanya mengaku salah. Di mana moral, mana akhlaknya? Kalau nak bertanding pilihan raya, tak kan nak jual maruah? Nak jadi Perdana Menteri, nak jual harga diri?" persoalnya.

Tuan Guru juga memetik penegasan Nabi Muhammad S.A.W bahawa Baginda tidak akan melantik seseorang yang meminta atau rakus mahukan jawatan sebagaimana hadis mengenai Abdul Rahman Samurah.

Malah, membetulkan hujah pihak tertentu mengenai Nabi Yusuf yang pernah meminta jawatan, beliau menjelaskan bahawa Nabi bersifat maksum dan Baginda dipenjarakan kerana fitnah wanita ke atasnya.

Terang Tuan Guru, Nabi Yusuf tidak membuat permohonan pengampunan, sebaliknya wanita yang menuduh Baginda mengaku salah dan membenarkan Yusuf, selain atas kerasulannya telah menunaikan amanah ditugaskan.

Kata Tuan Guru lagi, syarat menjadi pemimpin juga tidak boleh fasik yang antaranya bukan sahaja tidak mengerjakan dosa, tetapi juga dilarang tidak istiqamah, tidak ada harga diri dan maruah serta tidak konsisten.

Beliau mengemukakan kisah Khalifah Umar al-Khattab yang pernah memasuki gereja di Baitul Maqdis dan apabila masuk waktu solat paderi membenarkannya untuk solat di situ, namun ditolak Umar.

Ceritanya, Umar keluar dan tidak bersolat di situ yang dihujahkannya dengan nasihat mengenai sikap memasuki rumah ibadat agama lain dan mengikuti upacara tertentu di dalamnya.

"Kita tak boleh paksa orang bukan Islam sembahyang (macam) kita. Dia (juga) tidak boleh paksa kita sembahyang (macam) dia. Kita nak larang dia makan daging babi, tak boleh, itu hak dia.

"Nak halang dia minum arak, tak boleh. Dia nak suruh kita minum arak, itu tak boleh. Kita tak boleh minum, kita tak boleh. Nak berniaga sayur, ayam sembelih, boleh. Berniaga babi, dia boleh, kita tak boleh.

"Ini dia batas, dibenarkan orang bukan Islam berniaga sama-sama dia tak jadi salah. Tapi beza agama mesti dihormati, ini diajar oleh Islam. Bukan cara yang bercelaru tak tahu apa," tegurnya.

Beliau juga membidas pembohongan janji pilihan raya yang jelas semata-mata untuk memenangi pilihan raya, tetapi dimungkiri dan tidak ditunaikan di mana ia berbeza dari ditunjukkan PAS apabila memerintah negeri.

Pun begitu tegasnya, perkara paling penting adalah menunaikan amanah kepimpinan dan pengundi tidak harus memandang ringan soal pemilihan pemimpin kerana ia berkait dengan kejadian Hari Kiamat juga.

Dipetik daripada ucapan Presiden PAS dalam Ceramah PRK P.132 Port Dickson pada Ahad, 7 Oktober 2018 di Bukit Tembok, Linggi, Negeri Sembilan - HARAKAHDAILY 8/10/2018