Mohd Nazari optimis pengundi awal

Berita
Typography

PORT DICKSON: PAS optimis dengan kehadiran pengundi awal di tiga pusat pengundian dalam Parlimen Port Dickson yang dibuka seawal jam lapan pagi tadi.

Menurut calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, beliau bersyukur lebih ramai pengundi sedang hadir menunaikan tanggungjawab mereka dan berharap lebih ramai lagi akan turun mengundi.

"Saya begitu optimis dengan kehadiran pengundi. Alhamdulillah yang mana saya difahamkan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi dah memenuhi ruang saluran dan rata-rata yang saya jumpa memberi reaksi yang agak luar biasa.

"Jadi kehadiran saya ini mungkin mereka dah tahu sebelum ini, saya difahamkan saya tanya mereka macam mana boleh kenal saya? Kata mereka melalui tv, Youtube, Facebook, Twitter, WhatsApp telah mereka hadamkan dan mereka tahu apa mereka nak pilihan.

"Jadi bila kenyataan itu datangnya dari tentera ini saya pun rasa sangat lega dan tidak cukup tangan pasal pengundi ramai dan kita nak jumpa semua pengundi memang tidak sempat," ujarnya ketika ditemui Harakahdaily di pusat pengundian awal, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini awal pagi ini.

Dijangka sejumlah 6,636 anggota tentera bersama pasangan mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Kem Segenting Port Dickson manakala 555 anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini. - HARAKAHDAILY 9/10/2018


"