Yik urus Darul Anuar bermula tahun depan

Berita
Typography

KOTA BHARU: Sesi persekolahan Maahad Darul Anuar (Mada) Pulau Melaka di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) dijangka bermula Januari tahun hadapan selepas urusan pengambilalihan selesai.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri bersetuju mengambil alih sekolah berkenaan sebagaimana yang dihasratkan keluarga Nikmatillah.

Katanya, hasrat berkenaan telah disampaikan oleh keluarga berkenaan selaku pemegang amanah lebih setahun lalu.

Lagipun menurutnya, sekolah berkenaan sebelum ini pernah berada di bawah pengurusan Yik.

“Bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu ia diurus sendiri keluarga berkenaan di bawah pengurusan anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Omar.

“Tindakan itu dibuat berikutan maahad berkenaan kurang mendapat sambutan pelajar. Selain itu yurannya tinggi,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Bagaimanapun berdasar laman berita Nik Omar hari ini dilapor nafi pernah menghantar permohonan menyerahkan sekolah itu kepada Yik.

Namun Pengerusi Keluarga Bekas Nikmatillah, Nik Razi Nik Mat memberitahu pihaknya membuat permohonan menyerah Darul Anuar kepada Yik sejak 2016. – HARAKAHDAILY 10/10/2018