Desak batal pesta arak Oktoberfest 2018

Berita
Typography

PUTRAJAYA: Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semalam menghantar memorandum bagi mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan pihak berkenaan membatalkan Oktoberfest 2018 yang dijadualkan berlangsung di Brotzeit, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, malam ini.

Penaja utama GSIM, Wan Asshima Kamaruddin berkata, hasil perbincangan bersama pihak kementerian membawa kata persetujuan untuk menghantar pihak yang sepatutnya membuat pemantauan pesta tersebut.

"Sebenarnya hari ini kedatangan kami, Gerakan Srikandi Malaysia datang untuk menyerah memorandum tentang bantahan terhadap Pesta Arak, Oktoberfest 2018.

“Hasil perbincangan kita, ada yang bertegang urat, ada yang berlembut, jadi kita ambil beberapa cadangan. Antara solusinya adalah pegawai-pegawai yang terbabit, contohnya seperti, DBKL akan menghantar beberapa orang untuk memantau," ujarnya.

Beliau berharap KWP memantau setiap aktiviti tidak sihat di ibu kota serta membersihkan anasir-anasir negatif yang memburukkan imej negara Islam.

"Oktoberfest patut diperangi sepertimana memerangi gejala LGBT di Malaysia. Kami mahu Kementerian Wilayah Persekutuan memantau setiap aktiviti yang tidak sihat," katanya.

Katanya, salah satunya ketagihan arak, dadah, LGBT, pelacuran dan GSIM berharap kementerian membersihkan segala anasir-anasir yang tidak sepatutnya menjadi keburukan kepada negara Islam.

"Kita minta jabatan-jabatan, menteri-menteri terbabit menghapuskan Oktoberfest sepertimana kita mahu menghapuskan LGBT," ujarnya.

Tambahnya, GSIM melihat festival tersebut bakal berlansung di lokasi awam iaitu pusat membeli belah Mid Valley Megamall yang mana ianya boleh menarik minat golongan anak muda Melayu Islam secara umumnya.

Poster acara tersebut juga dilihat tidak menyatakan sekatan terhadap orang Islam daripada menyertainya. – HARAKAHDAILY 11/10/2018