Wawasan kebajikan dan pembangunan untuk PD

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Agenda kebajikan penduduk khususnya warga tentera dan pembangunan Port Dickson di bidang pelancongan menjadi fokus terpenting diperjuangkan calon PAS PRK P.132 Port Dickson, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Wawasan itu jelas beliau, adalah usaha yang telah digerakkannya sekian lama selaku Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) menerusi platform PAS, sekali gus meletakkan PAS sebagai pembela rakyat.

Menurut beliau, selaras Perintah Majlis Angkatan Tentera (Pemat) 1973 menafsirkan bahawa setiap anggota tentera dan isteri iaitu ahli Bakat berhak untuk diberikan dua lot tanah perumahan dan 20 ekar tanah pertanian.  

“Misi saya (menerusi Kerabat) adalah untuk tentera dan veteran. Perlu dijaga dan diperkasakan kebajikan mereka. Kita melihat bahawa tanah-tanah milik Kerajaan Negeri sekarang ini telah diserahkan kepada Persekutuan, dijadikan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Felda, Risda, Felcra. Jadi tanah-tanah ini semua menggunakan kuota tentera. 

“Tanah-tanah itu adalah urusan Angkatan Tentera yang mendapatkan tanah melalui urusan Kementerian Pertahanan ketika itu. Maka diwujudkanlah tanah-tanah Lembaga Kemajuan ini. Sewajarnya apa yang dibuat di Felda Sungai Koyan, di Felda Linggiu, beberapa tempat di Felda Air Tawar di Johor, ini semua diberikan keutamaan kepada veteran.

“Kalau di Felda Sungai Koyan itu ada satu Felda 100 peratus diberikan kepada tentera yang kemudiannya menjadi seorang veteran. Kerana sebab itu veteran apabila mereka berhenti 10 tahun, 13 tahun, 17 tahun, mereka tak ada pencen. Bila mereka tak ada pencen, siapa yang boleh menampung keperluan ini?

“Maka kerajaan menyediakan fasiliti tanah ini dan juga rumah. Ini sebab menghargai jasa mereka. Jadi kerajaan terdahulu dah jaga. Kemudian Kerajaan BN mula, mula dah goyah dah, terlupa berkenaan kebajikan mereka,” terang beliau.

Sehubungan itu kata Nazari, perkara tersebut sepatutnya boleh dilaksanakan oleh kerajaan kini dan mestilah diusahakan oleh Kementerian Kewangan, di mana di Negeri Sembilan terdapat tanah di Palong 17 hingga 22 yang kosong dan boleh diisi untuk veteran tentera.

Hujah beliau, kebajikan tentera mesti ditangani dan dibela pihak kerajaan walaupun setelah mereka bersara sebagaimana layanan di negara-negara lain terhadap tentera dan bekas tentera mereka.

“Kita tak mahu jadi tentera dipinggirkan, mereka menjadi kerja tukang buruh, pemotong rumput sana, bawa teksi sana. Sepatutnya benda ini tak boleh. Contohnya saya belajar di Bangladesh, ada projek namanya DOSH iaitu 'Defence Of Sir Housing Scheme’. Di sana mereka ramai tentera, tetapi mereka tak ada tanah, mereka tak boleh bagi sepertimana Pemat kita sebut, 20 ekar tanah pertanian.

“Tapi mereka bagi seorang seekar. Dalam keadaan seorang seekar pun, syarikat perumahan angkatan tentera, koperasi angkatan tentera, lembaga tabung angkatan tentera, military bank (wujud). Mereka bersatu memperkasakan tentera sebelum mereka jadi veteran. Mereka bangunkan tanah-tanah yang kecil ini kemudian sebagai apartment. Kemudian mereka serahkan bukan sebiji rumah, sebuntil kunci untuk satu lantai apartment.

“Sebab itu walaupun keadaan di sana gaji mereka hanya RM85, fighter pilot pun gaji RM800. Tetapi mereka tak merungut, disiplin mereka tetap tinggi. Sebab mereka tahu matlamat mereka, apabila mereka menamatkan perkhidmatan, kerajaan jaga. Yang ini yang Kerajaan Malaysia dulu dah buat, bagi tanah kepada peneroka dan juga kepada veteran. Tapi ini diabaikan (setelah itu),” ujarnya.

Menyentuh mengenai pembangunan Port Dickson, katanya tidak wujud hala tuju atau kerangka utama daripada pihak perancangan ekonomi negeri atau negara yang pernah dibentangkan, sekali gus bererti tiada peruntukan untuk itu pernah diadakan.

Bagaimanapun Nazari komited untuk bersama kepakaran yang wujud khususnya dalam kalangan penduduk ke arah menjadikan Port Dickson sebagai Pusat Pelancongan Dunia suatu hari nanti dengan pantai indah serta artifak sejarah masih dimiliki. - HARAKAHDAILY 12/10/2018