Hujan tidak patah semangat calon PAS

Berita
Typography

PORT DICKSON: Suasana hujan tidak mematahkan semangat calon PAS, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar untuk turun padang bertemu mata bersama rakyat di Kampung Nelayan, Teluk Kemang,malam tadi.

Walaupun kepenatan dan rehat yang tidak mencukupi disebabkan jadual kempen yang padat tetapi beliau tetap gagah dan senyuman di wajah tidak pernah lekang apabila berjumpa dengan rakyat.

Beliau hadir ke sembang santai calon PAS bersama penduduk Kampung Nelayan. Kehadiran beliau disambut baik oleh hadirin bagi mendengar ucapan daripada beliau sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson ini.

Menurut beliau, jika diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi wakil ahli Parlimen Port Dickson ini, beliau akan berusaha memperkasakan reputasi Port Dickson ini sebagai pusat pelancongan pantai yang popular di Malaysia.

Katanya, pantai Port Dickson merupakan antara pantai yang popular, tetapi tidak boleh menarik ramai pelancong dari luar negara kerana tiada perancangan yang sistematik dilaksanakan.

Nazari berkata, Port Dickson sesuai untuk dijadikan pusat agro perlancongan kerana terdapat tempat yang sangat sesuai untuk diusahakan tanaman durian Musang King dan ini dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

"Port Dickson ini mempunyai 'package four in one'. Kita ada pantai dan kalau boleh pantai mesti bersih sebab untuk mendapatkan pelabur daripada luar negara perlu kepada penjagaan pantai yang bersih.

"Keduanya kita ada hotel dan 'service' hotel mesti baik setaraf 5 bintang. Ketiga, tempat rekreasi seperti padang golf dan kita akan minta kerajaan untuk menaik taraf padang golf yang sedia ada ini. Kemudian dalam masa 3 tahun kita boleh naikkan industri Musang King supaya menjadi pembekal makanan terhebat," katanya.

Sementara itu, sembang santai ini diserikan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan buskers dan hidangan BBQ yang disediakan oleh penganjur serta cabutan bertuah.

Nazari tidak melepaskan peluang untuk sama-sama bantu menyediakan BBQ untuk dihidangkan kepada hadirin. – HARAKAHDAILY 12/10/2018