Pelantikan MPKK bidang kuasa negeri

Berita
Typography

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah mempertikaikan peranan Senator Dato’ Husam Musa berhubung pelantikan ahli Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Sedangkan kata beliau, keputusan mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyerah pelantikan serta pemilihan itu kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, pada peringkat pusat badan itu dikenali MPKK, manakala di Kelantan dinamakan sebagai Majlis Pembangunan Mukim (MPM) yang mempunyai 11 ahli termasuk penghulu.

"Mengenai penambahan empat ahli, saya tidak tahu sebab kita berpegang kepada keputusan mesyuarat bersama kementerian sendiri.

“Selagi keputusan itu tidak berubah, itulah pendirian kita. Dato’ Husam atas kapasiti apa beliau memberi cadangan. Beliau mungkin boleh memberi cadangan kepada pusat," katanya ketika ditemui pemberita ketika persidangan Dun berhenti rehat, hari ini.

Baru-baru ini Husam yang juga Pengerusi PH Kelantan dilapor memberitahu seramai 12,672 orang akan dilantik menganggotai MPKK Kelantan yang bakal berkuatkuasa 1 Januari depan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,960 orang merupakan lantikan kerajaan persekutuan dan selebihnya kerajaan negeri. - HARAKAHDAILY 30/10/2018