Pusat belum bayar premium tanah RM275 juta

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan persekutuan masih mempunyai tunggakan bayaran premium tanah sebanyak RM275 juta yang belum ditunaikan sehingga sekarang.

Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mempunyai asasnya sendiri untuk memohon wang pendahuluan daripada kerajaan persekutuan.

Katanya, RM275 juta merupakan jumlah tunggakan iaitu RM113 juta premium tanah Institut Pendidikan Guru di Pengkalan Chepa, RM144 juta premium tanah Felda dan RM18 juta hasil tanah kerajaan persekutuan.

"Ini merupakan sandaran kita, kita mohon advance yang boleh dibayar kerana kerajaan persekutuan masih belum bayar kepada kita premium sebanyak RM275 juta.

"Jika perkara ini dibayar mengikut jadual, tunggakan ini tidak akan berlaku. Kita minta pendahuluan ini kerana duit kita ada yang tidak dibayar lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ustaz Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) dan Dato’ Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada persidangan Dun hari ini.

Tambah Ustaz Ahmad permohonan 'advance' kepada kerajaan pusat merupakan amalan yang biasa dilakukan kerana belanjawan defisit kerajaan-kerajaan negeri.

Kata beliau atas dasar itulah kerajaan negeri memohon pendahuluan dari kerajaan persekutuan.

Beliau turut menafikan kegagalan kerajaan negeri bermasalah membayar gaji kepada kakitangan, bahkan tidak pernah lewat membuat bayaran setiap bulan.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut Kelantan menerima pemberian (geran) Kerajaan Persekutuan sebanyak RM398 juta termasuk RM59.9 pemberian defisit.

Menurutnya geran itu diberi memandangkan kerajaan Kelantan tidak mempunyai hasil mencukupi untuk perbelanjaan termasuk gaji kakitangan awam. - HARAKAHDAILY 30/10/2018