Seru dunia tangani punca keganasan - MP PAS

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Keganasan biar dilakukan pihak mana sekalipun mestilah ditentang, sebaliknya usaha kedamaian dan keharmonian serantau perlu terus menjadi misi, wawasan dan peranan yang disokong.

Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi yang berucap di Perhimpunan Agung Ke-10 Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP) di Moscow, Russia kelmarin dahulu.

Namun menurutnya, keganasan kini menjadi masalah sosial yang semakin berkembang serius dalam dunia hingga menggugat keyakinan dan merosakkan kestabilan hidup masyarakat.

"Kami (PAS) percaya bahawa perang terhadap keganasan akan gagal melainkan puncanya dikenali menyeluruh dan dengan ikhlas benar-benar mahu diselesaikan.

"Lihat bagaimana amat tidak adil untuk orang Palestin yang berjuang untuk tanah, rumah dan nyawa mereka, tetapi dipanggil sebagai pengganas," kemuka beliau.

Serunya, semua parti politik harus bersama untuk menyelesaikan isu asas Palestin dan tidak berdiam melihat pihak dari bahagian dunia lain mengambil tanah milik rakyat Palestin.

Juga tegasnya, keadilan kepada masyarakat mesti diluaskan dengan usaha menghentikan pembunuhan terhadap warga Palestin di mana hari ini menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri.

Bidasnya, itulah antara punca keganasan dan beliau menyatakan komitmen PAS yang diwakilinya terhadap usaha membanteras ketidakadilan, diskriminasi dan keganasan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Hal itu jelasnya, selaras perintah Allah S.W.T pada ayat 13 surah Hujurat dan contoh ditunjukkan Malaysia pada PRU Mei lalu di mana peralihan luasa berlaku secara aman, dengan demokrasi politik tanpa keganasan atau kehilangan nyawa. - HARAKAHDAILY 31/10/2018