Pasukan beruniform: Serap tentera tidak berpencen

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff meminta kerajaan menjelaskan sama ada dasar yang membolehkan anggota tentera yang tidak berpencen diserap masuk ke pasukan beruniform wujud, bagi memanfaatkan kebolehan yang ada dalam kalangan mereka.

"Sebab ramai di kalangan mereka, apabila mereka berhenti, mereka berminat semula untuk masuk. Jadi apakah dasar ini dibuat untuk membolehkan mereka untuk memberi keutamaan kepada golongan yang tidak berpencen ini," soalnya semasa mencelah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Walau bagaimanapun, Mohamad tidak menjawab persoalan tersebut dengan jelas dan memaklumkan bahawa beliau akan sentiasa menjaga dan membela veteran ATM samasa berpencen atau tidak berpencen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pula meminta menteri menjelaskan status siasatan skandal yang berlaku di dalam kementerian tersebut sebagaimana yang disebutkan Pakatan Harapan sebelum memegang tampuk pemerintahan.

"Saya nak tanya Yang Berhormat menteri, setakat manakah komitmen kerajaan hari ini menyiasat skandal yang lalu dan setakat manakah tindakan diambil," soalnya.

Menjawab persoalan tersebut, Mohamad bahawa kementerian itu sentiasa melaksanakan pengauditan dalam perkara berkaitan tadbir urus perolehan dan kewangan kementerian. - HARAKAHDAILY 31/10/2018