PAS komited bantah ICERD

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengetuai rombongan para peserta himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ke bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang akan menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil Jabatan Perdana Menteri yang antara lain bagi menzahirkan kebimbangan terhadap usaha menghapuskan hak Bumiputera dalam perlembagaan Malaysia.

Terdahulu, kira-kira 200 peserta berjalan dari kawasan Tugu Negara bermula jam 10.45 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen selepas dihalang anggota dan pegawai polis yang bertugas mengawal di situ.

Kehadiran individu terbabit mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mereka dilihat memegang beberapa sepanduk ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ dan bertakbir ‘Allahuakbar’.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mengesahkan Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah ianya juga daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof. – HARAKAHDAILY 31/10/2018

ice5