PAS sokong memorandum tolak ICERD

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS telah menerima satu memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ummah yang menyentuh mengenai implikasi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kepada orang Melayu dan bumiputera apabila kerajaan meratifikasikannya di Konvensyen Antarabangsa pada 8 November nanti.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua ahli parlimen PAS menyokong penuh tuntutan daripada memorandum tersebut kerana tindakan meratifikasikan ICERD secara langsung akan menyentuh beberapa sendi utama berkenaan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dilindungi di bawah Perkara 153 dalam Perlembagan Persekutuan.

"Sehubungan itu, kita mendesak kerajaan supaya menolak ratifikasi ini. Kalau lihat sejarah negara kita, penolakan ini (ICERD) telah lama dibuat sejak zaman kerajaan Umno-BN dahulu.

"Jadi kita harap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat mengekalkan penolakan terhadap ICERD ini kerana implikasinya sangat besar kepada sendi utama pembentukan negara Malaysia. Dan jangan ada kenyatan menteri yang berubah-ubah. Meskipun ada menteri yang kata boleh terima tetapi kecualikan beberapa perkara.

"Jika kerajaan menerima, bermakna kita telah akur kepada tuntutan mereka dan beri negara kita untuk dikawal oleh pihak lain," katanya yang juga Timbalan Presiden PAS pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut mencadangkan satu jawatankuasa khas dalam parlimen diwujudkan untuk mengadakan satu forum bagi membincangkan sesuatu perkara sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan. – HARAKAHDAILY 31/10/2018