APRSAR terima penghargaan PERHILITAN

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pasukan Amal Pahang Response, Search and Rescue (APRSAR) telah menerima penghargaan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada satu majlis di Ibu Pejabat PERHILITAN, Jalan Cheras, di sini kelmarin.

Penghargaan tersebut berikutan penglibatan APRSAR dalam misi mencari dan menyelamat anggota Renjer yang dilaporkan sesat dalam hutan Taman Negara, Kuala Lipis pada kejadian Ogos tahun lalu itu.

Turut menerima penghargaan pada majlis disempurnakan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jeyakumar itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, NGO-NGO serta orang perseorangan.

Menurut Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang, Asra Asmidas, sememangnya kewujudan APRSAR adalah untuk sama-sama membantu menangani pelbagai masalah dan misi berkaitan yang memerlukan khidmat dan kebolehan mereka.

Pun begitu katanya, pihak beliau akan sentiasa berusaha mempertingkatkan lagi kemahiran dan ketrampilan anggota sejajar Prosedur Operasi Standard (SOP) profesional yang dikeluarkan untuk semua agensi berkaitan.

Beliau turut berharap agar hubungan baik dan kerjasama bersama semua agensi berkaitan akan terus dapat dijalin dan diperkukuhkan dalam meluaskan khidmat dan manfaat buat rakyat serta negara. - HARAKAHDAILY 2/11/2018