Bantuan Musim Hujan legakan penoreh getah

Berita
Typography

SIK: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Jeneri telah mengadakan program agihan Bantuan Musim Hujan untuk penoreh getah dalam Dun tersebut pada satu majlis di Kampung Hujung Bandar, di sini kelmarin.

Program itu digerakkan sebagai usaha meringankan beban kira-kira 800 penoreh yang terjejas mata pencarian pendapatan mereka ekoran bermulanya musim hujan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor, program ini merupakan hasil sumbangan orang ramai kerana sebagai Adun Pembangkang, tiada sebarang peruntukan dari kerajaan untuk bantuan sebegini.

Tambah beliau, kegagalan Kerajaan Negeri Kedah untuk bertindak pantas menangani isu ini menyebabkan kebanyakan penoreh getah terpaksa mengikat perut disamping keluarga yang perlu disara termasuk anak bersekolah.

"Kita mengambil inisiatif ini bersama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Sik dan PKWR Dun Belantek kerana tidak mahu para penoreh yang terjejas berasa kecewa dan sedih akan nasib menimpa mereka.

"Baru-baru ini Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor hadir memberi sumbangan kepada 100 penoreh disamping beberapa NGO dan korporat serta masjid daripada luar daerah Sik yang prihatin akan nasib yang menimpa para penoreh getah di sini," jelasnya yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah.

Sanusi dalam pada itu menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sumbangan melalui akaun Public Bank 3984723118 di atas nama PAS MTD Jeneri atau hubungi Pegawai Khas Adun Jeneri, Badrul Hisham Abdul Rahman di talian 019 466 7906 untuk sebarang pertanyaan mengenai bantuan secara 'one off' ini. - HARAKAHDAILY 2/11/2018 

IMG 20181102 WA0005