Penggondolan bukit di P. Pinang kian parah

Berita
Typography

BALIK PULAU: Pembangunan rakus yang menggondolkan tanah tinggi dan aspek infrastruktur tidak selaras serta naif dilihat punca tragedi runtuhan lereng cerun dan banjir lumpur kilat di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, isu tersebut telah banyak kali diutarakan pihaknya bersama NGO seperti Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Namun katanya, pihak Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dilihat tidak mengendahkan suara bantahan rakyat, serta tidak mengambil pengajaran daripada tragedi dan impak buruk yang terjadi.

"Banjir lumpur dan banjir kilat. Tahun lepas sahaja lebih 60 kes runtuhan lereng bukit dan di Bukit Kukus itu jalan terputus hampir sebulan. Tanah di Pulau Pinang ini kebanyakannya jenis gambut, berpasir dan bercampur batu.

"Sebab itu penggondolan, bila mari hujan akan menjadikan keadaannya makin lembut dan tidak kuat yang jadi punca runtuhan macam di Jalan Tun Sardon. Jadi kita gesa kerajaan tolong hentikan.

"Kena buat siasatan yang betul. Lepas itu hasil siasatan mestilah bertindak, bukan diabaikan. Kerana, paling berisiko adalah rakyat selaku pengguna jalan raya di sini," tuntut beliau ketika ditemui di Pondok Upih, di sini semalam.

Terangnya, runtuhan-runtuhan yang berlaku turut melibatkan jalan raya hingga ada terpaksa dihadkan kepada kenderaan tertentu sahaja dan antara paling terhalang adalah lori tangki petroleum.

Hal tersebut ujarnya, menyebabkan operasi tiga stesen minyak di sekitar Balik Pulau tergendala berikutan hanya lori tangki kecil sahaja dapat melalui jalan alternatif lain bagi penghantaran bahan api tersebut.

Menurut Ustaz Fauzi, keadaan buruk yang berlaku turut disumbang pembangunan pesat antaranya projek perumahan di mana tidak memberi perhatian kepada aspek pembangunan infrastruktur asas dengan betul.

Beliau merujuk masalah perparitan dan saliran yang dibina dengan bukan mengikut spesifikasi sepatutnya, selain tanpa penyeliaan dan penyelenggaraan sewajarnya hingga mengundang kejadian banjir.

Dalam tinjauan HarakahDaily bersama Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan Md Yusoff mendapati banyak lereng bukit yang ditutupi dengan kanvas.

Malah, terdapat juga bukit-bukit yang terpaksa dibuat binaan konkrit untuk menahan runtuhan, namun masih banyak kawasan lain terus diteroka dengan pembangunan besar. - HARAKAHDAILY 2/11/2018 

IMG 20181102 WA0015

IMG 20181102 WA0016