Tutup aurat syarat anjur sukan di Kelantan

Berita
Typography

KOTA BHARU: Syarat menutup aurat serta pemisahan lelaki dan perempuan merupakan kriteria utama dalam penganjuran sebarang temasya sukan di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, langkah itu selaras dengan dasar kerajaan iaitu Membangun Bersama Islam (MBI).

Katanya, kerajaan tidak mengenakan tindakan tegas kepada atlet yang tidak mematuhi peraturan itu, sebaliknya menangguh kejohanan terbabit sehingga tuntutan agama dipatuhi.

"Kita meminta penganjur supaya mematuhi peraturan menutup aurat dalam aktiviti sukan.

"Kalau tidak patuhi sekalipun, kita minta aktiviti mereka ditangguh buat sementara waktu, sehingga syarat ini dipatuhi atlet," katanya selepas merasmikan Kejohanan Sukan IPTS Malaysia bagi Zon Timur 2018 di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Abdul Aziz Mohd Zin dan Pengarah Kejohanan Sukan Masiswa Zon Timur 2018, Dr Linamalini Mat Nafi.

Kejohanan terbabit dianjurkan Majlis Sukan IPTS Malaysia (Masiswa) dengan kerjasama KIAS disertai 14 IPTS Kelantan, Terengganu dan Pahang. - HARAKAHDAILY 2/11/2018