Speaker memihak, emosi dan turut berbahas ditegur

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Keterlanjuran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming 'menyertai' perbahasan Menteri dan Ahli Parlimen ketika mengendalikan sidang telah mendapat teguran Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat).

Malah, Kor Ming dilihat begitu 'cepat panas' dan beremosi hingga mengeluarkan amaran bernada gertakan terhadap Dato' Sri Tajuddin Abdul Rahman (BN - Pasir Salak) yang menyebabkan pertikaian antara mereka.

Bahkan, pengendaliannya selaku Speaker ketika itu jelas dilihat 'campur tangan' berpihak dan membiarkan provokasi daripada Ahli-ahli Parlimen Kerajaan terhadap Pembangkang tanpa dikemukakan teguran yang sama dan adil.

"Sepatutnya, Tuan Speaker tidak 'duduk' belah sana (Kerajaan) untuk berdebat dengan ahli-ahli sebelah sini (Pembangkang). Kena 'turun' daripada situ (kerusi Speaker) duduk sana baru boleh berdebat," tegur Che Abdullah.

Suasana panas terjadi setelah Tajuddin tidak berpuas hati dengan jawapan dan mempertikaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, lalu Kor Ming cuba menghentikannya.

Namun, hal tersebut bukan baharu apabila telah terjadi beberapa kali sebelum ini Kor Ming dilihat ghairah untuk turut berbahas dan menjawab sama dalam sesi yang sedang dikendalikan beliau.

Sedangkan selaku Speaker beliau harus memastikan kelancaran dan ketertiban aturan serta adil, tanpa cenderung emosi dan memihak, apatah lagi jawapan seolah-olah menyanggah Pembangkang dan menampung kelemahan Kerajaan. - HARAKAHDAILY 2/11/2018