Okt - Nov: Bulan kebangkitan Gerakan Islam

Berita
Typography

SEMPENA Memperingati 69 Tahun Perjuangan PAS (24 Safar 1371 - 24 Safar 1440)

Dua minggu lepas saya telah menulis dua artikel mengenai Sarekat Islam, sempena ulang tahun penubuhan gerakan Islam itu pada 16 Oktober 1905. Tarikh ini adalah tarikh kebangkitan gerakan Islam, kerana bermula saat itulah Islam mulai bangkit sebagai sebuah gerakan bagi menangani kejatuhan khalifah yang berakhir pada 3 Mac 1924. Bermula dengan lahirnya Sarekat Dagang Islam (kemudian dikenali sebagai Sarekat Islam mulai 1906), muncullah gerakan-gerakan Islam seperti Ittihad Muhhamadi (1909), Ikhwanul Muslimin (1928), Hizbul Istiqlal (1936), Jamaat Islami (1941) dan Hizbul Muslimin (1948). Di Indonesia, penubuhan Majlis Islam A'la Indonesia (MIAI) pada 1937 adalah inisiatif Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII), sebelum ia melahirkan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi) pada 1943.

Kebangkitan Islam di Tanah Melayu juga tidak boleh dipisahkan dengan Sarekat Islam pada dekad 1920-an dan Masyumi selepas Perang Dunia Kedua. Membiak dari janin dua gerakan Islam Indonesia inilah, kemudian lahirnya Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948, sebelum PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951. Kebangkitan PAS sebenarnya berlaku sebaik sahaja Persatuan Ulamak Malaya yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 itu mengadakan Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951. Dalam persidangan inilah, Persatuan Ulamak Malaya diberikan nama rasminya, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dilantik sebagai Yang Pertua Agung pengasasnya. Sejak itu, PAS mengorak langkah gagah dalam perjuangannya yang berdasarkan Islam, bersumberkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas sebagai rujukan hukum, dengan matlamat menegakkan negara Islam.

Permulaan kebangkitan PAS sebagai gerakan Islam telah termaktub pada 24 Safar 1371 (24 November 1951), yang hari ini adalah ulang tahun ke-69 usia perjuangan PAS. Ternyata bulan Oktober-November adalah bulan kebangkitan gerakan Islam bagi umat Islam di negara ini. Oktober (ditandai oleh penubuhan Sarekat Islam pada 16 Oktober 1905) dan November (ditandai oleh kebangkitan PAS pada 24 November 1951) telah menjadi bulan-bulan yang mencatatkan banyak peristiwa besar dalam perjuangan Islam di negara ini. Bahkan, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri dilahirkan pada 20 Oktober 1947, sebelum beliau menjadi pemimpin utama PAS, 55 tahun kemudian (2002). Mungkin hal ini kecil, tetapi bagaimana pula mengenai permulaan kepemimpinan ulamak PAS (23 Oktober 1982), penguasaan semula PAS di Kelantan (22 Oktober 1990) dan kejayaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam Pilihan Raya Kecil Kelantan Hilir (21 Oktober 1967)?

Sekadar mengimbas beberapa peristiwa besar dalam sejarah PAS yang berlaku dalam bulan Oktober-November, tetapi memberikan kesan yang besar terhadap landskap perjuangan Islam di negara ini. Hari ini, 2 November 2018, bertepatan dengan 24 Safar 1440 menjadi titik tengah antara dua bulan yang membangkitkan perjuangan ini.

Peristiwa penting bulan Oktober

11 Oktober 1953 - PAS yang menyertai National Convention anjuran Umno-MCA menunjukkan pendirian tegasnya terhadap hak ketuanan Melayu dalam rundingan tuntutan pilihan raya segera. Akibatnya PAS memutuskan hubungan dengan Umno kerana menolak sikap Umno yang tunduk kepada desakan MCA.

13 Oktober 1956 - Dr Burhanuddin al-Helmy telah dilantik sebagai Penasihat Kehormat PAS, sebagai langkah awal menjadikan beliau pemimpin utama PAS. Sebelum itu, pada 23 April 1954, beliau dilantik sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru. Dr Burhanuddin secara rasmi menjadi ahli PAS pada 14 Disember 1956, sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 25 Disember 1956.

16 Oktober 1905 - Haji Samanhudi telah menubuhkan Sarekat Dagang Islam (SDI) di Solo, Jawa. Pada 1906, SDI telah dikenali sebagai Sarekat Islam. Ia menjadi pergerakan politik Islam yang pertama di dunia.

20 Oktober 1947 - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilahirkan pada hari rakyat Tanah Melayu melancarkan Hartal 1947 terhadap dasar ekonomi kapitalis British. Pada tahun 2002, Tuan Guru Haji Hadi telah mulai memimpin PAS sebagai Presiden ketujuh.

21 Oktober 1967 - PAS telah memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir. Calon PAS, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya mengekalkan kerusi PAS di situ menggantikan Allahyarham Haji Ahmad Abdullah (Haji Mat Perai). Ekoran kemenangan ini, nama Ustaz Nik Abdul Aziz telah melonjak dan dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1968-1995), Pesuruhjaya PAS Kelantan (1981-2013) dan Mursyidul Am PAS (1994-2015).

22 Oktober 1990 - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan setelah BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. PAS menguasai semula Kelantan selepas 12 tahun jatuh ke tangan BN.

23 Oktober 1982 - Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatan, dan beliau digantikan oleh Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi. Pelantikan Pak Yusof Rawa ini telah memulakan era kepemimpinan ulamak dalam PAS.

24 Oktober 1982 - Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah meluluskan usul Konsep Kepemimpinan Ulamak PAS yang membawa kepada penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS pada 1987.

29 Oktober 1969 - Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah meninggal dunia telah beberapa tahun menderita sakit akibat deraan dalam tahanan ISA antara 1965-1966, dan diikuti oleh sekatan berpolitik ke atasnya. Beliau digantikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Asri Haji Muda.

30 Oktober 1961 - Kerajaan PAS Terengganu ditumbangkan melalui usul undi tidak percaya, setelah Parti Perikatan berjaya menculik beberapa Adun PAS ketika berlakunya krisis kepemimpinan PAS Terengganu. Menteri Besar, Haji Mohd Daud Abdul Samad kemudiannya meletakkan jawatannya dan diganti oleh Ibrahim Fikri dari Perikatan.

Peristiwa penting bulan November

7 November 1945 - Partai Masyumi telah ditubuhkan dalam Kongres Umat Islam Indonesia. Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi) pada asalnya telah ditubuhkan pada 23 Oktober 1943 untuk menggantikan Majlis Islam A'la Indonesia (MIAI) yang ditubuhkan atas inisiatif pemimpin Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII) pada 18-21 September 1937. Penubuhan Partai Masyumi inilah yang mendorong penubuhan MATA dan Hizbul Muslimin di Malaya.

13 November 1956 - Dr Haji Abbas Alias, Yang Dipertua Agung PAS bersama beberapa pimpinan PAS telah membuat lawatan ke bangunan yang dicadangkan sebagai Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur. PAS telah memutuskan untuk memindahkan pejabat agungnya dari Kepala Batas, Seberang Prai ke Kuala Lumpur untuk menyemarakkan kebangkitan PAS. Mulai 1 Disember 1956, PAS telah mempunyai Pejabat Agung secara rasmi di No. 26, Jalan Hamzah, Kuala Lumpur.

17 November 1987 - Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama, sekali gus memulakan kebangkitan sebenar Kepemimpinan Ulamak PAS sebagai sebuah institusi.

22 November 1952 - Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang juga Ahli Majlis Undangan Persekutuan telah bertindak meninggalkan persidangan badan perundangan itu kerana membantah pembentangan The Lotteries Bill 1952 oleh Setiausaha Kewangan, W.D Godsall. Pada 7 Mei 1953, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu membentangkan pula The Common Gaming House Bill, tetapi turut diboikot oleh pemimpin PAS itu.

24 November 1951 - Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil telah memutuskan bahawa nama persatuan yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur itu dikenali sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan turut dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS yang pertama dalam persidangan ini.

25 November 1947 - Umno telah mengarahkan Bahagian Agamanya supaya menganjurkan persidangan ulamak dan pentadbiran agama untuk menangani fenomena gerakan Islam yang digerakkan oleh Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) yang berpusat di Gunung Semanggol. Persidangan ini gagal dianjurkan, sebaliknya Persidangan MATA pada 14 Mac 1948 berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin.

27 November 1953 - Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah mengambil alih kepemimpinan PAS ekoran perletakan jawatan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 26 September 1953.

Pada 15 November 1953, beliau dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Tadbir PAS memutuskan untuk melantik beliau sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS. Dr Haji Abbas Alias pada 17 November 1953 telah menyatakan kesanggupannya dan mulai bertugas 10 hari kemudian.

29 November 1999 - PAS menguasai semula Terengganu setelah berjaya memenangi 28 daripada 32 kerusi Dun Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-10.

30 November 1999 - Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Tan Sri Dato' Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad. Beliau memimpin Terengganu selama empat tahun (1999-2004).

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sepanjang Oktober dan November dalam sejarah PAS. Seluruh pimpinan dan ahli PAS wajar memperingati dua bulan ini sebagai bulan kebangkitan bagi gerakan Islam, terutama dalam menghampiri genapnya sekurun (1342-1440H) jatuhnya kekhalifahan dan menanti saat berlakunya tajdid!

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS

Dicatat di,
Institut al-Balaghul Mubin
24 Safar 1440 / 2 November 2018 - HARAKAHDAILY 2/11/2018