Getah: Tetap harga lantai, luaskan inovasi

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kelayakan penoreh getah menerima Intensif Pengeluaran Getah (IPG) sekiranya harga komoditi itu jatuh di bawah RM2.20 sekilogram perlu dikaji semula oleh pihak kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim menegaskan bahawa harga itu terlalu rendah dan merupakan harga purata sedang 'dinikmati' penoreh sejak sekian lama.

"Kehidupan penoreh dengan harga sekitar RM2 sekilogram itu sebenarnya sangat tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian hidup yang minimum. Jadi saya cadang supaya diletak harga lantai getah pada paras minimum RM4 sekilogram.

"Bahkan rata-rata maklum balas saya terima dari penoreh, dengan kadar itu mereka tidak perlu apa-apa bantuan 'adhoc' seperti Bantuan Musim Tengkujuh dan seumpamanya," ujar beliau.

Dr Azman bagaimanapun menyokong inovasi kerajaan untuk meningkatkan kepelbagaian kegunaan getah sebagaimana cadangan sebagai bahan campuran dalam pembinaan jalan raya.

Pun begitu menurut beliau, inovasi tersebut tidak mampu melonjakkan harga getah di pasaran seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang kini terhimpit oleh harga begitu rendah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 tadi menyebut penggunaan getah tersebut bagi meningkatkan daya tahan jalan raya disamping mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Kerajaan menyasarkan penggunaan teknologi 'Cuplump Modified Bitumen' (CMB) terutama jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat dengan RM100 juta diperuntukkan," ujarnya di Parlimen. - HARAKAHDAILY 2/11/2018