Bajet: Pacu semula sektor pertanian negara

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Segala faktor kegagalan projek-projek industri pertanian negara sebelum ini perlu diteliti dan diambil kira sebaiknya sebelum bajet disalur atau dibelanjakan agar ia mendatangkan manfaat yang maksimum.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, faktor kejayaan terletak pada perancangan, pemilihan peserta, kemahiran dan daya tahan diikuti pelaksanaan dan pemantauan teratur.

Perkara itu terangnya, bajet kepada sektor pertanian bermakna untuk jaminan keselamatan makanan negara, oleh itu harus dipastikan setiap peruntukkan tidak menjadi seolah-olah mencurah garam ke laut disebabkan tanpa hasil dan kesan sebagaimana diharapkan.

"Saya mengharapkan dengan peruntukan RM117 juta bagi tiga fokus utama sektor pertanian terdiri dari penyelidikan dan pembangunan, Automasi Industri Makanan serta Keusahawanan dan Latihan Industri Tani mampu memacu sektor ini ke tahap lebih baik.

"Saya kira jumlah bajet ini mencukupi dan memadai dalam suasana ekonomi negara sekarang. Saya menyokong ia disalurkan dengan adil ke semua negeri bagi pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani bagi menarik minat dan penglibatan golongan muda menceburi bidang agromakanan.

"Masa depan agromakanan negara bergantung kepada mereka. Kita ingin golongam muda melihat industri tani sebagai kerjaya manusia berjaya. Pertanian bukan bidang manusia yang gagal dalam hidup. Pertanian adalah perniagaan," ulas beliau. - HARAKAHDAILY 3/11/2018