Penoreh tidak mampu sedia keperluan harian

Berita
Typography

CAMERON HIGHLAND: Sekadar peruntukan RM50 juta bagi menampung kejatuhan harga getah dianggap pekebun tidak mampu mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.

Ketua Muslimat Cameron Highlands, Dalmah Ismail berkata, penoreh getah yang ditemui sering merungut harga getah sekarang hanya RM2 sekilogram.

Katanya, penoreh berdepan dengan situasi itu sejak beberapa bulan lalu tanpa ada langkah berkesan dilakukan kerajaan.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila mereka terpaksa berhadapan musim tengkujuh sekarang yang akan berlarutan sehingga Januari depan.

“Kerajaan seharusnya memberi bantuan khas kepada pekebun kecil bagi meringan beban mereka dengan pendapatan yang tidak mampu menyediakan keperluan harian,” katanya di sini.

Baru-baru ini ketika membentang Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta sebagai insentif pengeluaran getah bagi membantu pekebun kecil jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekg.

Dalmah juga berkata, harga getah sekitar RM2 sekilogram sudah lama dialami penoreh getah di daerah ini. - HARAKAHDAILY 4/11/2018