Jangan hukum pukul rata peminjam PTPTN

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan khususnya PTPTN tidak seharusnya secara mudah menghukum secara pukul rata terhadap semua peminjam, kata Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul.

Ini, katanya selagi kerajaan masih belum menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak, gaji permulaan yang lebih baik dan masih belum mengenal pasti masalah sebenar para peminjam.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebagaimana di bawah. (Foto atas sekadar hiasan.)

Merujuk kepada Ucapan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan Malaysia di Parlimen pada 2 November 2018 yang lalu, ABIM, golongan mahasiswa serta Badan Masyarakat Madani (CSO) lain dikejutkan dengan pengumuman sistem potongan gaji secara automatik, bagi peminjam PTPTN yang mempunyai gaji lebih daripada RM1,000.00. sebanyak 2% hingga ke 15%.

ABIM menyeru pihak kerajaan agar lebih sensitif dalam menangani isu peminjaman PTPTN ini secara lebih cermat dan berhikmah, selaras dengan dasar mereformasikan institusi dalam era Malaysia Baharu.

ABIM berpandangan bahawa polisi ini adalah membebankan anak muda yang mahu memulakan kehidupan mereka pasca bergelar graduan.

Justeru, ABIM menyarankan agar kajian secara mendalam serta holistik dibuat bagi memahami punca sebenar kenapa masih ramai peminjam yang belum membuat bayaran kepada PTPTN.

Isu Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) juga seharusnya diambil kira. Kerajaan seharusnya memikirkan berkenaan penambahan dana untuk PTPK, selain menawarkan insentif kepada peminjam PTPK mahupun syarikat yang mahu membayar pinjaman tersebut, sebagaimana yang ditawarkan kepada para peminjam PTPTN.

Memandangkan gaji minimum yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 masih jauh daripada yang disarankan oleh Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) iaitu sepatutnya RM1500.00, ABIM menggesa agar soal kemiskinan bandar serta komitmen tinggi yang perlu dihadapi oleh anak muda dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kos sara hidup yang meningkat, diambil kira dalam menentukan kaedah pembayaran semula hutang PTPTN.

ABIM juga menyeru pihak Kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan manifesto mereka yang telah diumumkan pada 8 Mac 2018 di Shah Alam, di mana tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.

Soal peningkatan jumlah golongan muda yang bankrap dan muflis juga perlu diberi perhatian serius.

Bagi menggalakkan pembayaran hutang, ABIM menggesa pihak Kerajaan untuk menghapuskan sistem ujrah PTPTN, memandangkan ia dilihat menjadi beban hutang tambahan kepada para peminjam, di mana boleh mencecah ribuan ringgit.

Selain itu, sebagai satu lagi langkah ke arah sistem pendidikan percuma, pihak kerajaan boleh menyerap kos-kos tertentu yang ditanggung oleh mahasiswa di universiti dan kolej kediaman, sebagai langkah mengurangkan bebanan hutang PTPTN kepada mahasiswa, pada masa akan datang.

Subsidi makanan dan lain-lain akan membolehkan kos makan dan sara hidup golongan mahasiswa di kampus tidak tinggi, lalu tidak memerlukan pembiayaan yang tinggi.

Sesungguhnya, selagi pihak Kerajaan masih belum menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak, gaji permulaan yang lebih baik dan masih belum mengenal pasti masalah sebenar para peminjam, pihak Kerajaan khususnya PTPTN tidak seharusnya secara mudah menghukum secara pukul rata terhadap semua peminjam. – HARAKAHDAILY 6/11/2018