Malaysia Malaysian DAP agenda memusuhi Islam

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Bidasan pemimpin PH bahawa PAS cuba menjadi juara rakyat dan negara dengan isu ICERD, tetapi kononnya senyap isu 1MDB adalah kerana mereka melihat ekonomi sebagai perkara paling besar.

Sedangkan bagi PAS, politik bukan hanya untuk menjaga ekonomi, tetapi lebih besar dari itu adalah menjaga agama, demikian jelas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Tegasnya, ICERD adalah isu agama dan kedaulatan di mana kehilangan keduanya memustahilkan untuk ia didapati semula berbanding jika sekiranya kehilangan wang.

Perkara tersebut dikemukakannya di hadapan lebih 200 hadirin ketika menyampaikan ceramah "Kenapa Bantah ICERD?" di Dewan Mualim Haji Wahid, Bukit Katil malam kelmarin.

Menurut beliau, generasi lalu mendapatkan kedaulatan dan kemerdekaan dengan darah, berjuang menentang penjajah Jepun, British dan lain-lain.

Begitu juga ketika menyelesaikan isu orang Cina dan India yang datang bekerja di negara ini, namun dengan perbincangan baik mereka diterima sebagai rakyat.

"Tiba-tiba, mudah-mudah saja anak bangsa kita sendiri hendak langgar janji yang telah kukuh, dikemaskan oleh ayah-ayah kita yang terdahulu?

"Kedaulatan bila hilang, dia bukan hanya sentuh cerita orang Bumiputera, Melayu, bukan. Dia akan menyentuh agama.

"Kerana DAP sebagaimana kita tahu, adalah parti yang memang menolak Islam. Jelas!" tegasnya.

Tambah beliau, walaupun terdapat yang membela kononnya DAP tidak memperlihatkan memusuhi atau anti Islam, tetapi matlamat parti itu menjelaskannya.

Terang Ustaz Nik Abduh, matlamat DAP iaitu Malaysian Malaysia adalah idealogi yang mahu meletakkan semua adalah sama baik pada agama, bangsa dan segalanya.

Menyanggah salah faham mengenai tahaluf pernah diadakan PAS bersama parti itu, jelas beliau tahaluf bermaksud berbaik dengan musuh, kerana dengan kawan semestinya kena baik.

"DAP musuh. PKR tak sama dengan PAS dia bukan nak Islam. PAS nak Islam, jelas. PKR dengan cara dia. Tapi kenapa berbaik? Kerana mencukupi syarat agama.

"Begitulah masa kita kawan DAP dulu, ada perjanjian, saling menghormati. Dulu mereka pertahan hudud juga. Allah lembutkan hati mereka untuk lihat Islam agama sejahtera.

"Tapi sampai masa, dia naik kepala. Dia tak rasa selesa dengan PAS dan akhirnya lawan. Lupa pada janji mereka dan sampai masa berpecah," ujarnya turut mengemuka tahaluf Rasulullah dengan Yahudi di Madinah.

Katanya, sebagaimana dahulu disebut Kerajaan Umno-BN, hari ini yang memerintah hakikatnya bukan Kerajaan PPBM-PH walaupun parti itu Perdana Menteri, tapi sebenarnya Kerajaan DAP-PH.

Kemukanya, DAP hanya mahu menguasai kerajaan dan menggerakkan langkah-langkah perjuangan mereka untuk menyamakan semua kedudukan termasuk soal agama, sedangkan PAS berjuang meninggikan agama. - HARAKAHDAILY 27/11/2018